Program Latihan Super Skills For Life bantu guru tangani masalah disiplin pelajar

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 600 peserta terdiri daripada guru kaunseling, guru disiplin dan guru pelatih termasuk pensyarah mengambil bahagian dalam program Latihan Super Skills For Life yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang.

Program dirasmikan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, di sini sebentar tadi.

Prof. Dr. P. Ramasamy semasa ditemui pemberita selepas merasmikan program Latihan Super Skills For Life dekat IPG Kampus Pulau Pinang.

Menurut Ramasamy, penganjuran program berkenaan adalah bertujuan untuk memberikan latihan kepada guru-guru dalam bidang kaunseling dan yang berkaitan dalam usaha menangani masalah disiplin pelajar di sekolah sama ada sekolah rendah mahu pun menengah.

“Dalam kita memfokuskan strategi untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, kadangkala kita terlepas pandang kepada sebahagian masyarakat yang mempunyai kurang kepakaran atau ketahanan mental yang sepatutnya diberikan perhatian.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita sedar akan pentingnya ketahanan diri dan emosi untuk menjalani kehidupan sejahtera terutamanya kanak-kanak dan remaja.

“Oleh itu, program ini dijalankan di samping program-program lain pada masa akan datang sebagai tanggungjawab kolektif kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar yang mempunyai masalah kurang ketahanan mental supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan negara dan pada masa sama kita memberikan latihan yang mereka perlukan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Turut berucap sebelum itu, Timbalan Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang, Abdul Latib Abdul Rahman yang menyatakan bahawa penganjuran program berkenaan penting kepada guru-guru sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dalam usaha menangani masalah disiplin pelajar-pelajar di sekolah khususnya yang berkaitan dengan emosi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad; Pengarah Pusat Penyelidikan Gunaan dan Penilaian Kesejahteraan Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Reohampton, United Kingdom, Prof. Dr. Cecilia A. Essau; Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Ng Weng Tutt serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi menjelaskan, seorang daripada lima remaja di negara ini mengalami masalah kemurungan manakala seorang daripada 10 orang remaja pula mengalami tekanan emosi.

“Statistik ini adalah berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia yang menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental adalah suatu isu yang amat membimbangkan.

“Justeru, menyedari hakikat itu, Majlis Pendidikan Negeri Pulau Pinang, setiap tahun telah membiayai program-program yang menyentuh soal kesedaran dan intervasi kesihatan mental agar masalah-masalah seperti ini dapat diatasi,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD