Program manfaatkan kaum Hawa menjelang Aidilfitri

Admin

BATU MAUNG – Dalam usaha memperkasakan teras pemartaban wanita, pelbagai inisiatif diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim di sini.

Antaranya, mengadakan program pemberdayaan ekonomi mandiri, program pemantapan keluarga, program keseimbangan kerjaya dan program pengukuhan jati diri.

“Program-program ini diaturkan demi memastikan kaum Hawa juga mampu bersaing dengan kaum Adam.

“Ia menjadi sebahagian hasrat saya untuk melihat wanita di Batu Maung berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga negeri,” ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Malah, sempena kehadiran bulan Syawal kelak, wanita di Batu Maung turut diberi peluang menyertai kelas penyediaan kuih-muih dan biskut raya dianjurkan oleh Pusat Khidmat Abdul Malik di sini.

Abdul Malik dalam pada itu melahirkan rasa syukur berhubung jumlah penyertaan yang diterima.

“Alhamdulillah, seramai 25 orang hadir untuk menyertai kelas pembuatan biskut raya dan kek kali ini.

“InshaAllah, di masa-masa hadapan saya mengharapkan lebih ramai wanita lagi tampil untuk menyertai program-program khas wanita di DUN Batu Maung ini,’’ ujarnya.