3KP pupuk nilai kebersihan

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

KEBUN BUNGA – Bagi memupuk amalan nilai kebersihan dan semangat mementingkan kebersihan alam sekitar termasuk di kawasan kediaman, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Kesedaran Kebersihan Persekitaran (3KP) di sini baru-baru ini.

Penganjuran julung kali tersebut turut memperoleh kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Mount Erskine.

Menurut ADUNnya, Cheah Kah Peng, selain memungut sampah, kempen tersebut turut melibatkan aktiviti gotong- royong membersihkan laluan air dan kenduri rakyat.

“Tahniah kepada semua jawatankuasa JKKK Mount Erskine yang menjadi JKKK ulung melancarkan kempen ini di Kebun Bunga,” ungkapnya semasa turun padang bersama penduduk di sini baru- baru ini.

Tambah Kah Peng, kempen perintis dilancarkan JKKK Mount Erskine terbabit akan diserapkan kepada JKKK lain di kawasan Kebun Bunga.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan Pasukan Bomba Sukarela Paya Terubong.