Program Pelajar Emas direalisasikan

EXCO Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi (kanan sekali) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.
EXCO Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi (kanan sekali) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PENGKALAN KOTA – Seramai 224 pelajar dari kawasan Air Putih, Batu Feringghi, Batu Uban, Tanjong Bunga dan Paya Terubong menerima sumbangan RM100 Program Pelajar Emas pada majlis simbolik di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Penyampaian tersebut sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) menepati janji sebelum ini bahawa penyampaian sumbangan Program Pelajar Emas dilaksanakan pada 16 September bersempena sambutan Hari Malaysia.

Secara keseluruhan, seramai 110,000 pelajar negeri ini dan negeri-negeri sempadan (sekolah tersenarai) dengan peruntukan RM11 juta bakal menerima sumbangan khas berkenaan.

Rata-rata pelajar serta keluarga masing-masing melahirkan rasa syukur di atas inisiatif khas Kerajaan Negeri dan berharap bantuan sebegitu dapat diteruskan bagi mengurangkan bebanan ibu bapa berhubung keperluan persekolahan anak masing-masing.

Seorang suri rumah, Salina Yahya, 47, dari Batu Feringghi bersama anaknya, Adib Izzat Mohd. Nor, 13, menyatakan bahawa bantuan tersebut lazimnya meringankan beban beliau.

“Bantuan seperti ini memang besar maknanya kepada kami sekeluarga. Kakak dan suami (seorang nelayan) akan menggunakan sebaik mungkin sumbangan yang diberi untuk keperluan Adib,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Nenek saudara kepada seorang pelajar Tahun 1 Penang (Chinese) Girl School, Dorothy Chew, 64, memuji inisiatif Kerajaan Negeri yang banyak membantu pada aspek kebajikan rakyat negeri ini.

“Tambahan pula, wang ini diberikan secara terus tanpa perlu melalui pihak ke tiga yang kadang-kala menyukarkan urusan,’’ jelas beliau.

Turut bersetuju adalah ibu kepada T. Davesh, 10, iaitu D. Geetha, 31.

“Ini merupakan satu perubahan yang bagus dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang kerana ia dapat meringankan beban rakyat yang terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya akan gunakan wang ini sebaik mungkin bagi perbelanjaan anak saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyelar Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong kerana enggan bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dalam menjayakan program berkenaan.

“Perbezaan ideology politik bukan menjadi masalah dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah mengamalkannya.

“Bantuan ini juga bukan sahaja memberi manfaaat kepada pelajar, malah, peniaga-peniaga pun akan dapat manfaat kerana wang ini akan dibelanjakan di dalam negeri sahaja. Wang itu akan ‘berpusing’ di dalam negeri dan ekonomi kita terjaga. Kita kongsi sama kongsi, baru boleh untung,” ujar beliau.

MANSOR Othman (kanan sekali) menyampaikan sumbangan Program Pelajar Emas kepada salah seorang penerima di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kanan sekali) menyampaikan sumbangan Program Pelajar Emas kepada salah seorang penerima di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman turut menegaskan bahawa, Pulau Pinang bukanlah negeri yang kaya dengan sumber komoditi seperti negeri-negeri lain, namun, pengurusan ekonomi yang cekap memacu kita ke arah negeri yang cemerlang.

Sehingga tarikh 20 September lalu, seramai 35,562 pelajar telah mendaftar di bawah Program Pelajar Emas.