Program Pemandulan Anjing dan Pendidikan Haiwan Kesayangan beri kesedaran cara pemeliharaan yang betul

PERAI – Sehingga bulan Oktober, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima 1,223 aduan awam mengenai anjing, dengan 2,474 ekor yang terbiar berjaya ditangkap pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahli Majlis bagi MPSP, K. Jason Raj memberitahu bahawa PBT masih menganggap masalah berkaitan sebagai isu kritikal di Seberang Perai.

Justeru, beliau berharap penganjuran Program Pemandulan Anjing dan Pendidikan Haiwan Kesayangan MPSP dapat menangani isu anjing terbiar tersebut.

“isu anjing terbiar ini masih lagi menjadi isu yang kritikal… sebagai langkah proaktif, MPSP telah menjalankan operasi tangkapan setiap hari,” jelasnya ketika berucap dalam penganjuran program tersebut di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini 3 November 2018.

Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod yang merasmikan program tersebut.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MPSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Ketua Unit Klinikal Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Madya Dr. Rumaizi Shaari; Ketua Unit Regulatori
Merangkap Wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr. Tishrin Ismail dan Koperal Pegawai Polis Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alsone Aripin.

Tambah Jason Raj, objektif utama program tersebut diadakan adalah untuk memberi kesedaran serta kefahaman kepada pemilik haiwan kesayangan mengenai cara pemeliharaan yang betul dan mengikut undang-undang.

Katanya, terdapat 14 aktiviti pendidikan yang ditawarkan dalam program kali ini iaitu klinik konsultasi; pameran statik; pertandingan mewarna dan permainan kanak-kanak; jualan produk haiwan kesayangan; pameran bergerak iaitu pameran haiwan eksotik serta baka kucing cantik; pertandingan teka berat kucing dan kucing comel; program vaksinasi anjing serta kucing; program mikrocip dan pet passport; program anjing serta kucing angkat; perkhidmatan kaunter bergerak dan demonstrasi anjing dan dog show secara outreach.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MPSP