Pulau Aman lokasi siri terakhir ‘forest bathing’ tahun ini, JOM pada 15 Dis.

BUKIT TENGAH – Hampir 100 peserta menyertai ‘forest bathing’ atau terapi rimba anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Hutan Simpan Bukit Juru yang terdiri daripada 645 anak tangga, di sini pagi tadi.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod memberitahu bahawa penganjuran program berkaitan adalah selaras dengan Strategik Gaya Hidup Sihat sebagaimana digariskan dalam Pelan Strategik Seberang Perai 2018 – 2020.

“Di bawah pentadbiran Yang di-Pertua Majlis, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, sejak tahun lepas (2017) ada enam lokasi telahpun dikenal pasti untuk aktiviti ‘forest bathing’ dan penganjuran kali ini adalah siri ke-5 daripada enam kali yang kita sasar untuk dilaksanakan pada tahun ini (2019).

“Kita (MPSP) berharap aktiviti ini akan mempromosi lagi kawasan Seberang Perai sebagai kawasan eko-terapi (rimba) dan eko-pelancongan menarik pada masa akan datang, dengan begitu banyak kehijauan dan hutan yang menjadi destinasi persinggahan beribu-beribu jenis burung setiap tahun,” jelasnya ketika merasmikan program tersebut pada 3 November 2018.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MPSP, A’ziss Zainal Abiddin.

Menurut Rosnani, pada 23 September 2017, bekas Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng yang kini adalah Menteri Kewangan merasmikan program terapi rimba sempena pembukaan semula Hutan Simpan Bukit Juru.

Manakala perasmian program terapi rimba di Taman Rekreasi Bukit DO, ulasnya, dirasmi oleh Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini.

Tambah beliau, Rozali merasmikan aktiviti terapi rimba di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam pada 23 Jun lalu, sementara Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah (Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap) merasmikan aktiviti sama di Taman Negeri Bukit Panchor 7 Julai lepas.

“Pada 29 September lalu, Dato’ YDP MPSP (Rozali) sendiri merasmikan forest bathing di Hutan Lipur Cherok To’ Kun, dan saya merasmikan program ini.

“Bagi yang tidak berkesempatan mengikuti program forest bathing pada pagi ini, MPSP akan menganjur sekali lagi, iaitu siri terakhir bagi tahun ini di Pulau Aman pada 15 Disember (2018) nanti,” jelasnya sambil mengalu-alukan lebih ramai lagi penduduk Seberang Perai menyertai aktiviti terapi rimba tersebut kelak.

Difahamkan, matlamat utama penganjuran ‘forest bathing’ adalah sebagai terapi minda dengan berjalan-jalan di dalam hutan sambil menikmati dan menghargai keindahan alam semula jadi.

Aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat mengawal pelbagai penyakit seperti mengurangkan tekanan darah, mengurangkan stres, mempercepatkan penyembuhan akibat pembedahan dan kesakitan serta dapat meningkatkan tenaga serta kualiti tidur.

Terapi Rimba ini asalnya diamalkan di negara Jepun, dan dikenali sebagai “Shinrin-Yoku”.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS