Program PSC19 wajar diteruskan, kata ADUN

Admin

BAGAN LALANG – Program Penang Saring Covid-19 (PSC19) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai langkah memperkasakan kesihatan awam di negeri ini wajar diteruskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung berkata bahawa aktiviti saringan merupakan salah satu daripada tiga langkah penting dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Dalam menangani penularan COVID-19, ada tiga perkara penting yang perlu dilaksanakan oleh iaitu pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pemvaksinan dan ujian saringan.

Gooi Hsiao-Leung.

“Hal ini kerana, tanpa ujian saringan kita tidak boleh membuat perancangan teliti mengenai langkah dan tindakan yang perlu diambil oleh pihak berwajib.

“Justeru, saya rasa program ini (PSC19) memberi banyak manfaat kepada rakyat dan Kerajaan Negeri patut teruskannya pada hari-hari akan datang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas melakukan pemantauan operasi program PSC19 dekat Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Jalan Betek, di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Hsiao-Leung memberitahu bahawa seramai 1,716 individu telah mendaftar untuk disaring melalui PSC19 bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang dan Bukit Tengah setakat jam 1 petang hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 836 individu telah pun selesai menjalani ujian saringan dan jumlah dijangka meningkat menjelang petang ini.

“Kalau kita lihat sejak pagi tadi ramai yang datang untuk jalani saringan adalah daripada golongan peniaga dan penjaja pasar awam, pekerja pasar raya serta pemandu e-hailing yang mana mereka ini merupakan ‘economic frontliners’.

salah seorang kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang menjalani proses saringan.

“Tambahan pula, terdapat banyak kluster dan kes baru jangkitan COVID-19 dilaporkan di bahagian Seberang Perai Tengah (SPT). Oleh itu, program PSC19 ini diadakan tepat pada masanya untuk penduduk menjalani ujian saringan secara percuma.

“Selepas menjalani saringan, barulah mereka tahu sama ada mereka dijangkiti atau tidak dan seterusnya mengambil tindakan yang perlu untuk mengelakkan daripada dijangkiti atau menjangkiti orang lain,” ujarnya lagi.

Menjawab kritikan pihak-pihak tertentu yang mendakwa program PSC19 sebagai langkah membazir dan agak lambat, Hsiao-Leung menegaskan bahawa tidak ada istilah terlewat kerana ujian saringan perlu dijalankan sepanjang masa selagimana COVID-19 masih menular.

“Di mana-mana tempat sekalipun, sekiranya kita hendak tangani penularan COVID-19 secara berkesan, penggunaan data adalah sangat penting, Jadi kalau kita tidak buat saringan kita tidak tahu sejauh mana perebakan virus ini dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, pasa saya tidak ada istilah terlewat kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri ketika ini masih lagi menjalankan saringan untuk mengenal pasti jangkitan COVId-19 ini,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS