Projek rintis ternak kerang tersusun untuk nelayan B40 di SPU

DR. Norlela Ariffin menyempurnakan gimik pelepasan benih kerang di perairan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat Bagan Ajam, semalam.

TELUK AIR TAWAR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Jabatan Perikanan Malaysia yang berpengkalan di Batu Maung melepaskan kira-kira 2 tan matrik di lot percubaan yang dikenal pasti sesuai sekitar perairan dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), serta akan membuat taburan 1,000 kilogram (kg) lagi pada bulan Ogos depan.

DR. Norlela Ariffin

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin memberitahu bahawa projek perintis tersebut dilaksanakan dengan menggunakan kaedah penandaan lot secara lebih tersusun serta tidak akan mengganggu operasi pukat hanyut dan aktiviti nelayan pantai di sini.

“Lokasi pelepasan benih kerang ini dirahsiakan, kita dah lepaskan benih kerang pada 12:00 tengah malam semalam (28 Julai 2021), kerana kita tidak mahu ia dikaut sebelum tempoh matang yang mengambil masa dalam tempoh antara empat hingga lapan bulan.

“Ada 13 lot telahpun disusun, setiap satu lot berkeluasan 21 hektar, kita akan beri TOL (lesen pendudukan sementara) kepada kelompok nelayan tempatan yang terdiri oleh lapan hingga 10 orang.

“InsyaAllah, kita jangka hasil (kerang yang matang) boleh mula diraih pada suku pertama tahun hadapan (1Q22)…dengan pulangan kasar untuk setahun bagi tiap-tiap lot adalah kira-kira RM8.4 juta.

“Projek perintis peringkat SPU ini merupakan salah satu projek pemulihan ekonomi Pulau Pinang yang saya usahakan bersama Pusat Penyelidikan Ikan (FRI) dan Jabatan Perikanan di bawah ‘Taskforce Makanan’ demi meningkatkan pendapatan nelayan tempatan, penduduk di sekitar kawasan ini terutama golongan B40,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti sebelum menyempurnakan acara gimik pelepasan benih kerang ke laut di perairan Bagan Ajam di sini pada 29 Julai 2021.

MUSTAFA Kamal Ahmad (depan, dua dari kanan) turut mengiringi Dr. Norlela Ariffin (depan, kanan sekali) menyempurna acara pelepasan benih kerang di sini.

ADUN Teluk Air Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Norly Masitah Mohamad Noor; Pegawai Penyelidikan FRI, Muhammad Farouk Harman dan Penolong Pegawai Penyelidik FRI merangkap pengarah projek perintis tersebut, Dr. Hadzley Harith turut sertai acara ringkas itu.

DR. Hadzley Harith

Mengulas lanjut, Norlela memberitahu bahawa projek perintis tersebut merupakan satu lagi program yang beliau sendiri bentangkan dalam Majlis Pemulihan Ekonomi Negeri Pulau Pinang serta mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini.

“Buat kali pertama di Pulau Pinang, kita (Pihak Berkuasa Negeri) menyusun semula lot-lot projek ternak kerang dengan kita wujudkan lot TOL baru bagi kawasan SPU.

“FRI dah buat penyelidikan samudera dengan mengambil sampel air, tanah selut, rekod suhu air dan sebagainya, 13 lot ini ada sesuai (untuk penternakan kerang) serta bebas daripada ancaman haiwan pemangsa.

“Kita memang nak serah lot TOL ini terus kepada kelompok-kelompok nelayan, maka kelompok yang nak pegang lot TOL itu kena ada syarikat perniagaan (milikan bersama) lah.

“Ini kerana, kita tidak mahu ia (kawasan penternakan kerang) dibolot atau dimonopoli oleh empat atau lima individu seperti di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Selepas ini, kita (Pihak Berkuasa Negeri) akan menyusun semula kawasan ternakan kerang di SPT dan SPS dalam bentuk lot yang mana kita akan serahkan TOL kepada kelompok nelayan tempatan terutama B40.

“(Dan) dengan adanya kaedah lot yang lebih tersusun ini, para peserta cuma perlu rajin (ke laut) sahaja agar hasil di kawasan TOL hak milik mereka boleh diraih, tidak dicuri atau dibolot oleh mana-mana individu lain,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada FIR kerana banyak membantu membuat kajian samudera berkaitan hampir enam bulan lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Norlela turut mengumumkan cadangan projek penarafan dan mendalamkan kawasan perairan dekat Jeti Nelayan Penaga dan Jeti Nelayan Sungai Tembus untuk tujuan pendaratan hasil nelayan pantai.

Bercakap pada sidang media sama, Hadzley memberitahu bahawa FRI akan turut membuat taburan benih kerang seberat 2,000 kg di dua lot percubaan sekitar Beting Selatan, SPS.

“Penilaian kadar tumbesaran dan kadar hidup di Lot-lot percubaan ini akan dijalankan bagi menilai kesesuaian tapak untuk tujuan ternakan.

“Benih yang telah ditabur akan menjadi ‘public stoking’ selepas tempoh kajian pada tahun hadapan,” jelasnya lagi.

AZLAN Abdul

Ketua Unit Nelayan Bagan Ajam, Azlan Abdul, 53, yang dihubungi kemudian memberitahu bahawa pihaknya menyambut baik usaha Norlela dalam meningkatkan pendapatan penduduk lokal terutama B40.

“Bagi saya dan Unit Nelayan setempat, kami memang sokong penuh kerana projek ini tumpu meningkatkan pendapatan penduduk setempat dan B40.

“Lagipun, sebelum ini tidak ada projek seumpama ini (ladang ternak kerang secara tersusun) di sini kecuali di Juru.

“Apabila tiap-tiap satu lot ini bukan milik individu, sebaliknya diserahkan kepada kelompok nelayan tempatan yang mungkin sampai 15 orang, ramai yang dapat peluang manfaat di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Pulau Pinang ini, ia tidak boleh dibolot oleh mana-mana individu.

“Seperkara lagi, saya sendiri menyokong (hasil kajian samudera) yang dibuat FRI dengan memilih kawasan perairan ini sebagai tapak 13 lot pembenihan kerang kerana daripada segi air laut memang elok serta kurang ‘musuh kerang’ (haiwan pemangsa), berbanding di Juru dan Sungai Acheh,” ujarnya.

MAHADI Md. Rodzi

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai dan Pulau Pinang, Mahadi Md. Rodzi, 56, berkata pihaknya akan turut mengumpulkan data maklumat ahli persatuan yang berminat untuk menyertai ‘projek penternakan kerang’ peringkat SPU, untuk diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri.

“Di bahagian Seberang Perai ini, kerang liar memang banyak di perairan Bagan Ajam, tetapi tidak terkawal sebelum ini.

“Apabila ada perancangan mewujudkan lot secara tersusun, dan ia tentu akan dijaga baik oleh pihak berkaitan, saya harap habitat kerang akan bertambah berlipat kali ganda.

“Di samping nelayan tempatan pergi ke laut seperti biasa, mulai suku pertama tahun hadapan (2022) mereka juga berpeluang meningkatkan pendapatan samping melalui aktiviti tangkapan kerang di lot TOL masing-masing.

“Usaha Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan dan FRI ini sebagaimana dinyatakan oleh Dr Norlela, saya sokong kerana mahu meningkatkan lagi pendapatan nelayan tempatan terutama B40 agar mereka boleh jadi M40.

“Oleh itu, saya akan bantu daripada segi kumpul data maklumat nelayan untuk menyertai projek (ladang ternakan kerang peringkat Daerah SPU) ini,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, daripada lebih 6,000 ahli Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai dan Pulau Pinang, 2,332 orang adalah anggota Unit Nelayan Seberang Perai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR