Program Renang Merdeka 2019 diharap dapat memupuk semangat patriotisme belia, kata Exco

BAGAN DALAM – Seramai 37 peserta mengambil bahagian dalam Program Renang Merdeka 2019 yang berlangsung dekat Kompleks Kolam Renang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini, baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap agar penganjuran program berkenaan dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan belia di negeri ini.

“Melalui program ini, kita mahu memupuk semangat tekad untuk berjaya dalam kalangan pelajar selain memahami serta mengingati perjuangan generasi terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan.

“Selain itu, kita juga mahu mewujudkan masa depan yang cerah dan lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya kepada Buletin Mutiara semasa hadir ke program berkaitan, pada 30 Ogos lalu.

Hadir sama, Pengurus Program, Tei Beng Hooi dan Penasihat Kelab Renang Ria, Kenny Koay.

Dalam pada itu, Lip Chee juga merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan mengajurkan program berkenan bagi tahun ke empat berturut-turut sejak 2016.

“Renang merupakan salah satu acara sukan yang terkenal di Malaysia kerana dapat membantu mengekalkan kesihatan serta diminati oleh semua lapisan masyarakat.

“Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini mampu memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia sekaligus dapat menguatkan lagi mental dan fizikal mereka,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Difahamkan, para peserta yang mengambil bahagian akan berenang selama 6 jam, bermula dari jam 6:00 petang hingga 12:00 tengah malam pada hari tersebut.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADUN