TELUK AIR TAWAR – Hubungan erat antara agensi penguatkuasaan maritim dengan komuniti nelayan perlu terus diperkukuh bagi memastikan aspek keselamatan di laut, kebajikan nelayan serta kelestarian sektor perikanan negeri sentiasa diberi perhatian.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata demikian pada ketika hadir merasmikan Program Sahabat Maritim Negeri Pulau Pinang 2026 anjuran APMM Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh itu, penganjuran Program Sahabat Maritim Negeri Pulau Pinang 2026 merupakan satu inisiatif positif dalam merapatkan hubungan antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan komuniti nelayan.
Program seumpama ini amat baik dalam memperkukuh hubungan antara pihak penguat kuasa maritim dengan komuniti nelayan, selain meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan di laut serta kebajikan golongan nelayan.
“Bagi saya, nelayan merupakan antara kelompok penting yang menyumbang kepada sektor perikanan dan keterjaminan makanan negeri.
“Justeru, kerjasama erat antara agensi kerajaan dengan komuniti nelayan perlu sentiasa diperkukuh,” ujarnya.
Rashidi turut menegaskan bahawa komitmennya untuk terus memberi perhatian terhadap suara, keperluan dan kebajikan komuniti nelayan supaya golongan berkenaan tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
“InsyaaAllah, saya akan terus memberikan perhatian terhadap suara, keperluan dan kebajikan komuniti nelayan agar golongan ini sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.
“Nelayan dekat di hati, kebajikan mereka terus kita santuni,” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Mohd. Zawawi Abdullah; Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli; Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Jaffri Bidin serta Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai, Mahadi Md. Rodzi.
Dalam program sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada APMM Negeri Pulau Pinang, Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai serta unit-unit nelayan sekitar, khususnya Unit Nelayan Teluk Air Tawar, atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
Gambar: EXCO