Program Semarak Kibarkan Jalur Gemilang Parlimen Kepala Batas bakal jadi acara tahunan

photo 6080244257760416308 y ADUN Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican (tiga dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sebelum melepaskan peserta konvoi Program Semarak Kibarkan Jalur Gemilang Parlimen Kepala Batas di Bertam Boulevard, Bertam.

BERTAM – Program Semarak Kibarkan Jalur Gemilang Parlimen Kepala Batas bakal dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau mahu program kenegaraan ini disertai oleh semua kaum dengan skala pengisiannya akan diperbesarkan pada masa akan datang.

Beliau berkata, lebih membanggakan lagi apabila program tersebut disertai oleh golongan muda daripada pelbagai kaum yang turut mengibarkan Jalur Gemilang menerusi program konvoi yang dilaksanakan.

“Program ini adalah sambungan kepada acara pemula (prelude) program yang saya anjurkan sekitar dua minggu lalu yang mana saya memohon anak-anak muda untuk turun ke Pekan Kepala Batas bagi membantu memasang bendera Jalur Gemilang di semua premis perniagaan.

“Malah, kita juga turut menyertakan sekali kayu pemasang pada bendera berkenaan agar pemasangan itu dilakukan dengan cara yang betul serta tidak ada lagi wujud khilaf atau tersilap pasang dan sebagainya.

“Jadi saya ucapkan tahniah kepada anak muda yang datang hari ini dan apa yang lebih seronok adalah mereka semua datang daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan ‘flag-off’ pada Program Semarak Kibarkan Jalur Gemilang Parlimen Kepala Batas di Bertam Boulevard, di sini hari ini.

Reezal berkata, program tersebut juga akan diteruskan di peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) sempena sambutan ke 69 tahun kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

“Malah, ia akan menjadi lebih simbolik pada tahun hadapan memandangkan negara akan menyambut 70 tahun hari kemerdekaan.

“Semangat inilah yang saya mahu tanamkan dan semaikan di setiap jiwa warga dan keluarga besar Parlimen Kepada Batas.

“Di samping itu juga, kita juga hendak ‘warnakan’ seluruh Parlimen Kepala Batas dengan Jalur Gemilang dan tentulah bendera ini sebagai satu lambang kepada penyatuan kita semua, lambang kebanggaan kita dan lambang yang membawa maruah kita,” katanya.

Terdahulu, beliau melakukan ‘flag-off’ peserta konvoi program itu yang terdiri daripada 1,000 hingga 1,200 orang dari pelbagai bangsa menunggang motosikal untuk mengibarkan serta memasang Jalur Gemilang di lokasi stategi sekitar Parlimen Kepala Batas.

Antara lokasi laluan yang dikunjungi peserta konvoi adalah di kawasan Penaga, Pinang Tunggal dan Bertam.

Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN