Program Sukan Untuk Semua perkenalkan acara judo, 23 – 24 November ini

Admin

GEORGE TOWN – Fiesta Judo Pulau Pinang bakal dianjurkan pada 23 hingga 24 November ini bertempat di Tingkat 8, 1st Avenue mulai jam 12.00 tengah hari hingga 7:30 malam.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, pesta berkenaan dianjurkan di bawah program Sukan Untuk Semua bagi memperkenalkan lagi sukan judo kepada masyarakat.

“Program kali ni bukan lagi konsep pertandingan tetapi merupakan satu pameran (klinik) judo yang besar di negeri ini.

“Klinik judo bakal memberi peluang kepada masyarakat untuk mencuba dan mengenali dengan lebih mendalam tentang sukan ini.

“Justeru, saya mengalu-alukan orang ramai untuk hadir atau mendaftarkan diri bagi memeriahkan pesta ini kerana judo merupakan sukan yang menarik dan sesuai untuk semua golongan masyarakat,” ujarnya pada siding media dekat pusat beli-belah 1st Avenue, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang merangkap Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan Naib Presiden Persatuan Judo Pulau Pinang, Justin Khoo.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang pesta berlangsung termasuklah klinik pengenalan judo, program kecergasan, demonstrasi judo oleh atlet yang bakal mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2019, Filipina dan klinik pertahanan diri wanita dengan teknik judo.

Dalam pada itu, Justin Khoo menyatakan bahawa klinik judo bakal memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai teknik membanting ‘musuh’ dalam beberapa minit sahaja.

“Kita beri fokus kepada wanita dan kanak-kanak, kita akan adakan demonstrasi, ketengahkan judo sebagai sukan serta berhasrat membawa sukan judo ke tahap yang baharu,” jelasnya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING