Program YESS pupuk minat pelajar terhadap koperasi dan STEM

Admin

BERTAM – Setelah tiga tahun tidak dianjurkan, program Young Entrepreneurs Strive for Success (YESS) kembali semula dan berjaya menarik penyertaan 134 buah pertubuhan koperasi sekolah di seluruh Pulau Pinang.

 

 

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol memaklumkan bahawa YESS memainkan peranan penting dalam memberikan pendedahan kepada golongan pelajar mengenai koperasi termasuk keusahawanan.

 

“Setelah lama tidak berlangsung, Kerajaan Negeri menyambut baik penganjuran semula program YESS yang bukan sahaja mendedahkan para pelajar kepada koperasi malah dalam keusahawanan.

 

 

“Saya difahamkan program YESS juga bersifat serampang dua mata yang turut melibatkan pertandingan inovasi termasuk aktiviti berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” ujar Fahmi semasa merasmikan penutupan Program YESS di sini semalam.

 

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Norlelah Samsudin dan guru-guru pengiring kepada para pelajar yang menyertai YESS.

 

 

Norlelah dalam pada itu berkata bahawa melalui YESS, ia turut memupuk daya reka cipta pelajar selaras dengan rukun madani yang dicetuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

 

 

“Kalau boleh apa yang mereka pelajari ini turut dipraktikkan sampai mereka tamat persekolahan.

 

 

 

“Pulau Pinang juga adalah antara negeri yang mencatatkan penyertaan terbanyak dalam program YESS yang diadakan seluruh negara.

 

 

 

“Saya berharap kedudukan ketiga teratas bagi peringkat kebangsaan nnati akan ada wakil dari Pulau Pinang,” maklum Norlelah kepada pemberita.

 

 

Antara koperasi sekolah yang terbaik dilahirkan di Pulau Pinang adalah Koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian yang mencatat keuntungan sehingga RM1 juta sebelum ini.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD