Program Ziarah Mahabbah bantu keluarga kurang mampu

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PINANG TUNGGAL – Seramai 10 keluarga kurang mampu terpilih menerima sumbangan dari Pusat Khidmat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal di sini baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras KADUNnya, Muhasdey Muhammad berkata, setiap minggu, beliau akan memperuntukkan masa untuk menziarah dan menyampaikan sumbangan berupa bahan makanan asasi kepada 10 keluarga kurang mampu terpilih di sini.

“Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul, sebolehnya kita sedaya upaya meringankan bebanan ditanggung keluarga-keluarga ini.

“Moga-moga sumbangan ini memberi makna kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya sejurus selesai Program Ziarah Mahabbah di Kampung Baru di sini baru-baru ini.

Jelas Muhasdey, selain sumbangan, antara intipati penting program tersebut adalah untuk memaklumkan kepada golongan kurang bernasib baik bahawa Kerjaaan Negeri adalah prihatin dan sentiasa berusaha untuk membantu meringankan bebanan ditanggung.

Muhasdey, dalam pada itu turut berharap agar lebih ramai individu prihatin tampil menghulurkan penajaan bantuan sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan di sini.