Projek Jagung Manis IPR pacu ekonomi komuniti B40

Admin
img 20260724 wa0163

BERMULA dengan tanaman napier sebagai sumber makanan ternakan, Empire Vanquish Sdn. Bhd. kini melakar kejayaan dalam sektor agromakanan menerusi projek penanaman jagung manis.

Projek yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bukan sahaja dapat membantu memperkukuhkan agenda agromakanan negata, malah mampu membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup komuniti berpendapatan rendah (B40).

Pengurus Urusan Empire Vanquish Sdn. Bhd., MOHD. YUSRI YAHYA berkata, syarikat itu mula mengembangkan operasi pertanian kira-kira dua tahun lalu sebelum memulakan projek penanaman jagung manis pada Mac 2025 menerusi program IPR yang diselia oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

img 20260724 wa0150

 

Menurut beliau, daripada keseluruhan 150 ekar tanah yang disewa daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di Bertam, seluas 30 ekar telah diusahakan dengan tanaman jagung manis, manakala tambahan 40 ekar lagi dijangka dibangunkan pada awal tahun hadapan.

“Kami memilih jagung manis kerana tempoh penuaian yang singkat iaitu sekitar tiga bulan selain permintaan pasaran yang konsisten dan harga yang lebih stabil berbanding beberapa tanaman lain.

“Sebelum memulakan projek ini, kami turut menjadikan ladang jagung manis di Melaka sebagai model rujukan bagi memastikan pengurusan ladang dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan,” katanya dalam wawancara khas bersama penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, pembangunan projek tersebut memerlukan pelaburan awal kira-kira RM5 juta yang merangkumi pembangunan infrastruktur, kos operasi, gaji pekerja serta input pertanian.

Tambahan pula katanya, kawasan berkenaan yang sebelum ini merupakan ladang kelapa sawit memerlukan proses pemulihan tanah termasuk kerja pengemburan, penggunaan kompos dan pemulihan nutrien sebelum sesuai ditanam dengan jagung.

Hasil memberangsangkan

Mengulas prestasi pengeluaran, Mohd. Yusri, 42, berkata, setiap ekar mampu menghasilkan kira-kira 15,000 tongkol jagung bagi setiap musim tuaian dengan tempoh matang sekitar 68 hari, sekali gus membolehkan beberapa pusingan penanaman dilaksanakan dalam setahun.

Sehingga April 2026, projek tersebut berjaya menghasilkan 278,879 tongkol jagung daripada 420,000 pokok yang ditanam.

img 20260724 wa0179

 

“Pencapaian itu telah menjana hasil jualan sebanyak RM310,644 sejak projek dimulakan pada Mac tahun lalu, sekali gus membuktikan sektor agromakanan mempunyai potensi besar sebagai pemangkin ekonomi serta sumber pendapatan kepada usahawan tani,” katanya.

Selain menjual jagung mentah, syarikat turut mengembangkan aktiviti hiliran melalui produk separa proses seperti jagung sejuk beku dan pembungkusan, selain memasarkan produk siap dimakan seperti jagung bakar, jus jagung serta makanan berasaskan jagung menerusi kiosk jualan.

Bangunkan komuniti B40

Sementara itu, seorang lagi Pengurus Urusan Empire Vanquish Sdn. Bhd., AHMAD NAZRY SAID berkata, antara kekuatan utama projek tersebut ialah impaknya terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti B40.

Katanya, seramai 45 peserta kini terlibat sama ada menguruskan ladang atau mengendalikan kiosk jualan, dengan majoriti peserta wanita ditempatkan di kiosk.

Menurut beliau, syarat penyertaan di bawah IPR menetapkan struktur tenaga kerja melibatkan 25 pekerja tetap, 10 pekerja separuh masa dan 10 pekerja sambilan, manakala semua peserta mestilah terdiri daripada golongan B40 yang disahkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti penghulu atau wakil rakyat.

img 20260717 wa0052

 

“Ramai peserta datang daripada pelbagai latar belakang dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian.

“Justeru, kami menyediakan latihan secara berterusan supaya mereka memperoleh kemahiran yang diperlukan.

“Matlamat kami bukan sekadar memberi pekerjaan tetapi membolehkan peserta berdikari, malah, terdapat bekas peserta yang kini sudah mampu mengusahakan ladang sendiri,” katanya sambil menambah bahawa pemilihan peserta ditentukan melalui sesi temuduga khas.

Beliau berkata, kebajikan peserta turut diberi perhatian menerusi penyediaan pelbagai kemudahan seperti surau, bilik mandi, loker, slip pembayaran gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Manfaat teknologi tingkat kecekapan

Dalam usaha meningkatkan produktiviti, Ahmad Nazry, 49, berkata, syarikat memanfaatkan pelbagai teknologi moden termasuk penggunaan stesen cuaca (weather station), sistem pengairan bersepadu dan dron bagi kerja penyemburan tanaman.

img 20260717 wa0036

Beliau berkata, projek tersebut turut mendapat sokongan menyeluruh daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, selain bantuan NCIA dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam aspek pembiayaan, latihan, padanan perniagaan serta akses kepada institusi kewangan.

“Dengan sokongan pelbagai agensi, kami dapat memperkukuhkan pengurusan ladang selain memperluaskan jaringan pemasaran,” katanya.

Luas pasaran, sasar 20 kiosk

Pada masa ini, pasaran utama hasil tanaman tertumpu di Pulau Pinang melalui rangkaian FAMA, namun produk turut dipasarkan ke Kuala Lumpur, Kedah dan Ipoh.

img 20260724 wa0167img 20260724 wa0175

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama ialah meningkatkan jumlah pengeluaran bagi memenuhi keperluan pasar raya besar yang memerlukan bekalan secara konsisten.

“Buat masa ini kami menggunakan pemborong untuk meluaskan capaian pasaran dan pada masa sama, kami sedang memperkukuhkan jenama sendiri melalui pembukaan kiosk.

“Kiosk pertama telah beroperasi di Mydin Bertam dan sasaran kami ialah membuka sehingga 20 kiosk di seluruh Pulau Pinang,” katanya.

Industri berpotensi besar

Mengulas prospek industri, Mohd. Yusri optimis tanaman jagung manis mempunyai masa depan yang cerah memandangkan permintaan domestik sentiasa tinggi.

Beliau berkata, antara perancangan jangka panjang syarikat ialah memperluaskan kawasan tanaman, menambah bilangan kiosk, membangunkan produk nilai tambah siap dimakan serta memperkenalkan konsep agropelancongan yang membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman memetik jagung di ladang.

img 20260724 wa0152img 20260724 wa0146

 

Menurutnya, pulangan pelaburan (ROI) dijangka mula dicapai sekitar tahun ketiga pelaksanaan projek, sejajar dengan pengembangan aktiviti hiliran dan usaha membina jenama tempatan yang mampu berdiri setanding produk ikonik Pulau Pinang.

“Cabaran tetap ada, khususnya faktor cuaca, pengurusan air, penyakit tanaman serta disiplin tenaga kerja.

“Namun dengan sokongan kerajaan, penggunaan teknologi dan komitmen semua pihak, kami yakin projek ini mampu terus berkembang.

“Lebih penting, projek ini membuktikan sektor pertanian moden bukan sahaja mampu menjamin bekalan makanan negara, malah menjadi platform membina kemahiran, menjana pendapatan dan mengubah kehidupan masyarakat B40 ke arah yang lebih baik,” katanya menutup bicara.