PANTAI JEREJAK – Sebuah jambatan sepanjang kira-kira satu kilometer yang menghubungkan Jambatan Harapan berhampiran Queensbay Mall dengan Pulau Jerejak dijangka dibina secara fizikal bermula September ini.
Jelas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin, jambatan tersebut dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan pulau bersejarah itu.
“Pembinaan jambatan berkenaan merupakan komponen penting bagi menghubungkan Pulau Jerejak dengan kawasan lain di Pulau Pinang, khususnya perancangan untuk pulau tersebut dibangunkan sebagai sebuah pusat kewangan pada masa hadapan.
“Projek berkenaan dicadangkan sebagai jambatan empat lorong, selain dilengkapi laluan pejalan kaki serta lorong basikal.
“Jambatan ini saya cadangkan kepada pemaju mesti ikonik dan cantik, bukan jambatan yang biasa-biasa, perlu menjadi tarikan yang membuatkan orang mahu datang ke Pulau Jerejak.

“Dengan adanya laluan pejalan kaki dan basikal, orang ramai bukan sahaja boleh menggunakan kenderaan, malah boleh berjalan kaki atau berbasikal ke pulau tersebut,” ujarnya dalam satu sidang media dekat Kafe Sri Nibong sempena program mengedarkan Jalur Gemilang di sini pagi tadi.

Tambah Tze Tzin, beliau turut mencadangkan supaya reka bentuk jambatan tersebut diberi penekanan khusus agar menjadi mercu tanda baharu Pulau Pinang.
Selain rancangan pembangunan pusat kewangan bagi menyokong sektor industri di Pulau Pinang, Pulau Jerejak juga mempunyai pelbagai tinggalan sejarah menarik untuk diketengahkan kepada pelancong.
“Pembinaan jambatan berkenaan dijangka mengambil masa tiga tahun dan disasarkan siap pada Mac 2029.
“Ini juga merupakan perkembangan positif yang berpotensi meningkatkan aksesibiliti ke Pulau Jerejak, selain membantu menghidupkan semula nilai sejarah dan potensi pembangunan pulau berkenaan.
“Kalau mahu membangunkan pusat kewangan, tidak lagi praktikal untuk bergantung kepada perkhidmatan bot, kita perlukan hubungan yang lebih baik dan jambatan ini akan menjadi penghubung utama ke Pulau Jerejak,” jelasnya merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru.
Difahamkan jambatan berkenaan akan bermula berhampiran Jambatan Harapan (laluan basikan dan pejalan kaki) berhampiran Queensbay Mall dengan Pulau Jerejak.
Bercakap mengenai alam sekitar, Tze Tzin memberitahu pihak pemaju hanya dibenarkan menjalankan projek di kawasan 80 ekar yang dikhaskan sahaja manakala 85 peratus Pulau Jerejak masih kekal berstatus Hutan Simpan Kekal.
Dalam perkembangan lain, Tze Tzin memberitahu ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila jumlah dagangan negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 meningkat 22.4 peratus kepada RM1.796 trilion, sekali gus mencatat paras tertinggi dalam sejarah negara.
Katanya, prestasi tersebut turut disokong peningkatan eksport sebanyak 27.5 peratus kepada RM971.6 bilion, manakala import meningkat kepada RM824.44 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM147.15 bilion.
“Ini bermaksud negara kita sedang mengalami satu pencapaian yang sangat membanggakan. Banyak aktiviti yang menguntungkan Malaysia dan kita mencatat lebihan dagangan yang sangat tinggi, iaitu RM147.15 bilion.
“Sektor elektrik dan elektronik (E&E), termasuk semikonduktor, menyumbang 42.5 peratus daripada eksport utama negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya.