SERI DELIMA – Projek Jalan Pintasan Pakej 2 kini memasuki fasa akhir dengan kemajuan fizikal mencapai 91.8 peratus, sekali gus menyaksikan usaha dipertingkatkan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada pihak kontraktor bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Setakat 15 Jun, kemajuan fizikal projek adalah 91.8 peratus berbanding 96.01 peratus mengikut jadual, jadi kita perlu mengejar lebih kurang empat peratus lagi.
“Pihak kontraktor sedang menambah sumber untuk mempercepatkan kemajuan projek dan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, kita yakin projek ini boleh disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan projek berkenaan dekat sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn. Bhd., Dato’ Seri Farizan Darus; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang, Ir. Azmi Abdul Hamid; Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC), Tan Sri Dr. Khor Eng Chuen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng serta barisan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Mengulas lanjut, Zairil turut menyatakan bahawa sebanyak empat daripada 12 struktur blok konkrit gergasi (beam) telah berjaya dilancarkan setakat ini, manakala pelancaran beam tambahan dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir Julai sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek.
“Kerja-kerja ini akan dijalankan secara serentak bagi memastikan kita dapat mempercepatkan penyiapan projek dan pada masa sama, kontraktor juga sedang menambah sumber untuk meningkatkan kemajuan kerja di tapak.
“Namun, pelancaran beam perlu mengikut prosedur operasi yang ditetapkan kerana pada hari-hari tertentu, kren memerlukan ruang untuk ditempatkan di atas jalan dan ini melibatkan penutupan lalu lintas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zairil turut memaklumkan bahawa faktor operasi dan logistik berkenaan perlu diambil kira dalam perancangan kerja bagi memastikan setiap pelancaran beam dapat dilaksanakan dengan selamat serta tidak menjejaskan kelancaran keseluruhan projek.
“Jadi, kita perlu merancang dengan teliti kerana ada hari tertentu kita tidak boleh menjalankan pelancaran beam disebabkan keperluan menutup lalu lintas bagi memberi ruang kepada kren.
“Walaupun terdapat cabaran dari segi operasi, kita akan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor untuk memastikan kemajuan projek dapat dipertingkatkan,” katanya.
Tambah Zairil, Projek Jalan Pintasan Pakej 2 merupakan antara projek infrastruktur terbesar yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dijangka menjadi mercu tanda baharu negeri apabila siap kelak.
“Projek ini sudah hampir siap dan saya ingin meminta rakyat Pulau Pinang untuk terus bersabar.
“Kita faham orang ramai menantikan projek ini disiapkan, namun dengan kerjasama semua pihak, Kerajaan Negeri yakin projek ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan,” tambahnya.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN