BAGI sesetengah orang, usia mungkin menjadi alasan untuk berhenti mencuba. Namun, bagi A. SANGEETHA, 52, usia hanyalah angka yang tidak pernah menghalang beliau mengejar minat dalam dunia pengucapan awam dan perdebatan.
Minat yang disemai sejak berusia tujuh tahun akhirnya membuahkan hasil apabila anak jati Bukit Mertajam itu dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik pada Debat Wanita Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2026 anjuran Persatuan Alumni Sidang Wanita Pulau Pinang (ASWIP) baru-baru ini.
Dengan nada yang masih jelas memancarkan rasa teruja dan syukur, Sangeetha menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan hidupnya.
“Sudah tentu saya sangat gembira dan terharu apabila berdiri di pentas yang begitu berprestij merupakan satu penghormatan yang cukup bermakna buat saya.
“Anugerah ini bukan kemenangan saya seorang, tetapi hasil sinergi, komitmen seluruh pasukan serta bimbingan jurulatih yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar,” ujarnya ketika dihubungi wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI baru-baru ini.

Di sebalik kejayaan itu, Sangeetha berkongsi kisah bagaimana seorang kanak-kanak yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai, sering dipilih guru untuk berdiri di hadapan khalayak.
Selain aktif menyertai pertandingan bercerita dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Sangeetha juga diberi tanggungjawab membaca ikrar Rukun Negara pada perhimpunan sekolah pada setiap hari Isnin.
Apabila melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam, beliau turut diberi peluang mewakili sekolah dalam pertandingan pengucapan awam dan debat termasuk ketika menuntut di Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam.
“Saya memang meminati bidang ini sejak kecil, malah guru-guru banyak memberi kepercayaan kepada saya dan dari situlah keyakinan mula terbina,” katanya.
Beliau mengakui kejayaan hari ini banyak dipengaruhi oleh didikan keluarga yang sentiasa percaya kepada potensinya.
Ibunya, P. Rajamani, merupakan individu pertama yang sentiasa mendorong beliau agar terus aktif dalam dunia perdebatan manakala ibu saudaranya, P. Gunavathy, mengajarnya teknik pengucapan awam.

Tidak hanya itu, beliau berkongsi bahawa Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim turut menjadi sumber inspirasi buat dirinya.
“Saya amat mengagumi beliau kerana kebijaksanaan menyampaikan hujah serta penguasaan bahasa yang begitu memukau.
“Selain beliau, seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga menjadi idola kerana kehalusan bahasa dan seni retorik dalam setiap karya beliau,” kongsi Sangeetha.
Ilmu menjadi senjata utama
Bagi Sangeetha, kekuatan sebenar seorang pendebat bukan terletak pada kepetahan berbicara semata-mata, tetapi sejauh mana seseorang itu sanggup menimba ilmu.
Beliau mengakui setiap topik yang diberikan memerlukan penelitian, pembacaan dan kajian yang mendalam sebelum mampu menghasilkan hujah yang bernas.
“Saya banyak membaca dan membeli buku, pergi ke Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur untuk membuat rujukan dan mengumpul maklumat untuk pertandingan debat.
Bagi saya, ilmu adalah segala-galanya.
“Semakin banyak kita membaca, semakin luas perspektif kita dan semakin tinggi keyakinan untuk berhujah,” katanya.
Semasa pertandingan berlangsung, beliau yang mewakili pihak kerajaan sentiasa mencatat setiap hujah pihak lawan sebelum menyusun strategi untuk membidasnya dengan fakta yang kukuh.
Kemahiran mendengar sama penting dengan kemahiran bercakap.
“Kita perlu benar-benar memahami hujah lawan sebelum memberikan jawapan yang tepat dan meyakinkan,” jelasnya.
Jarak bukan penghalang
Walaupun kini bekerja di Ipoh, Sangeetha tidak menjadikan faktor jarak sebagai alasan untuk tidak memberikan komitmen.
Sebaliknya, beliau dan rakan sepasukan memanfaatkan teknologi dengan mengadakan perbincangan melalui WhatsApp, manakala latihan secara bersemuka dilakukan apabila mempunyai kesempatan.
Beliau mengakui cabaran terbesar adalah mengimbangi kerjaya, latihan dan masa untuk membuat penyelidikan.

Namun, semua pengorbanan itu dianggap berbaloi apabila impian yang pernah tertangguh sejak zaman persekolahan akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya pernah berasa kecewa kerana beberapa kali terlepas peluang menyertai pertandingan debat Piala Ketua Menteri ketika di sekolah.
“Sebab itu, apabila peluang ini hadir, saya anggap ia sebagai peluang keemasan yang tidak boleh disia-siakan,” katanya.
Belajar daripada pendebat seluruh dunia
Semangat untuk terus memperbaiki diri turut membawa Sangeetha menyertai Elite Debaters Club yang berpangkalan di Kuwait secara dalam talian ketika pandemik sekitar tahun 2021 hingga 2022 dan pernah memenangi pendebat terbaik.
Melalui platform tersebut, beliau berpeluang bertukar pandangan dengan pendebat dari pelbagai negara dalam Bahasa Inggeris sekali gus mempelajari teknik serta pendekatan baharu dalam dunia perdebatan.
Setiap pengalaman membuka ruang untuk saya menjadi lebih baik.
“Saya percaya proses belajar itu tidak pernah berakhir,” katanya.
Kini, selain aktif sebagai ahli Kelab Toastmasters Bahasa Melayu Pulau Pinang, beliau turut bergiat sebagai jurulatih pengucapan awam yang sering dijemput melatih golongan muda.
Selain itu, beliau juga giat melatih generasi muda untuk pertandingan podcast, sesi debat Bahasa Inggeris serta aktif sebagai Pengerusi Penang Sanatana Voice (PSV) dalam pelbagai program kemasyarakatan di Pulau Pinang.
Umur bukan penamat impian
Bagi Sangeetha, penyertaan dalam Sidang Wanita sejak 2021 menjadi titik tolak yang membuka lebih banyak ruang untuk beliau mengembangkan bakat dalam bidang pengucapan awam. Keyakinan beliau melonjak apabila berpeluang menjadi Timbalan Ketua Menteri II (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Perai) melalui program sidang wanita anjuran PWDC.

Beliau percaya setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya tanpa mengira usia.
Kalau kita benar-benar minat, teruskan sahaja dan umur bukan penghalang untuk mengejar impian.
“Saya mahu terus belajar, mengasah bakat dan berkongsi pengalaman dengan masyarakat selagi nyawa masih dikandung badan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatihnya yang dikenali sebagai Reena, yang sentiasa menyuntik semangat sehingga membuatkan beliau percaya bahawa dirinya mampu melangkah lebih jauh.
Mengakhiri temu bual, Sangeetha berharap lebih banyak platform seperti Debat Wanita Piala Ketua Menteri diteruskan kerana mampu melahirkan masyarakat yang berani bersuara, berfikiran kritis dan berilmu.
“Jika berminat, timbalah ilmu sebanyak mungkin.
Buku adalah teman paling setia kerana ilmu akan membina keyakinan, memperkukuh hujah dan membuka lebih banyak peluang dalam kehidupan.
“Jangan takut untuk mencuba, sertailah kelab-kelab pengucapan awam atau debat kerana setiap pentas ialah ruang untuk kita belajar dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.