Projek LRT Komtar-Bayan Lepas bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat

whatsapp image 2024 01 16 at 13.30.59

SEBERANG JAYA – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu perkara itu pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi pembangunan semula Kampung Manis yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan Malaysia supaya menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibawa ke Kabinet untuk diluluskan.

“Projek LRT Pulau Pinang (Komtar-Bayan Lepas) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Semalam, saya ada mesyuarat bersama dengan Perdana Menteri mengenai projek LRT Pulau Pinang, dan beliau mengarahkan Kementerian Pengangkutan supaya menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibawa ke Kabinet untuk diluluskan, dari segi pelaksanaannya,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan bersetuju membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyegerakan projek LRT Komtar-Bayan yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR