Projek pemasangan paip berkembar dasar laut baharu penuhi dasar tiada catuan air

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : PBAPP

GEORGE TOWN – Pemasangan saluran paip berkembar dasar laut baharu bernilai RM125 juta adalah bertujuan memastikan bahawa dasar tiada catuan air di negeri ini dipenuhi bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Projek Saluran Paip Berkembar Dasar Laut Butterworth-Pulau Pinang oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu mempunyai tiga pakej dan dijadual siap menjelang Disember 2020.

Beliau berkata, Pakej 1 projek berkenaan telah siap membabitkan kawasan dekat sekitar Macallum di sini merangkumi pemasangan 0.9 kilometer (km) paip berkembar bersaiz 1,800 milimeter (mm) dengan kos RM9.2 juta.

“Bagi Pakej 2A dan 2B akan melibatkan pemasangan 0.8km paip berkembar bersaiz sama dengan unjuran kos RM15.2 juta di Butterworth, dan buat masa ini PBAPP sedang menunggu kelulusan daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk memulakan kerja.

“Manakala bagi Pakej 3 membabitkan kos RM100.6 juta merangkumi pemasangan 3.2km saluran paip berkembar bersaiz 1,200mm dari Butterworth ke kawasan Macallum di bahagian pulau.

“(Dan) tender terbuka bagi Pakej 3 ini dijadual akan dipanggil pada Mei 2018 nanti,” katanya kepada pemberita sejurus mengadakan lawatan teknikal ke tapak projek Pakej 1 di sini 19 Mac lalu.

Selain mengelak catuan air di negeri ini, bagi Guan Eng, rasional pemasangan saluran paip berkembar dasar laut berkaitan akan meningkatkan lagi kapasiti PBAPP untuk menyalurkan air terawat yang lebih efisien dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) ke bahagian pulau.

“Ia juga bagi menangani permintaan air pada masa hadapan, lagipun ia akan memberi manfaat bukan sahaja untuk rakyat Pulau Pinang, malah perniagaan dan industri yang ada di negeri ini.

“Penggantian saluran paip ini penting kerana ini adalah penggantian pertama selepas ia dibina pada tahun 1973… sudah 45 tahun,” katanya yang juga Pengerusi PBAPP.

Difahamkan, projek berkenaan akan memanfaatkan 500,000 pengguna air domestik dan beribu-ribu perniagaan yang terletak di kawasan Green Lane sehingga ke daerah Barat Daya Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa projek-projek seperti ini telah membantu Pulau Pinang mencapai margin
rizab air tertinggi di Malaysia pada 2016 iaitu sebanyak 34.1 peratus dan seterusnya membolehkan negeri ini berjaya tanpa catuan air.

“Meskipun tarif air domestik Pulau Pinang adalah yang terendah di Malaysia, iaitu RM0.32 bagi setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama, tetapi tanpa perkongsian 4P iaitu public, private, people dan professional serta PBAPP sebagai pengendali air yang mencatatkan keuntungan paling konsisten di Malaysia, dasar tanpa catuan air di negeri ini tidak akan berjaya.

“(Dan) perlu ditegaskan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang secara terbuka mengisytiharkan dasar tanpa catuan air…dan ini mencerminkan komitmen kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) dalam memastikan bekalan sentiasa mendahului permintaan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa memberitahu, saluran paip berkembar dasar laut itu akan menyalurkan 315 juta liter air terawat sehari (JLH) dari LRA Sungai Dua ke rumah pam PBAPP dan kolam air terawat di Bukit Dumbar.

“Air terawat itu kemudiannya akan dipam semula kepada pengguna air di seluruh bahagian selatan Pulau Pinang dan juga Balik Pulau,” jelasnya.