Tawaran rumah kepada rakyat, Exco puji kejayaan kurang senarai menunggu

GEORGE TOWN – Sejak tahun 2013, sejumlah 41,114 penawaran rumah mampu milik (RMM) telah ditawarkan kepada penduduk negeri ini.

Tindakan proaktif Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tersebut dalam mengurangkan senarai penerima menunggu sejak tahun 70-an memperoleh penghargaan daripada Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Katanya, tindakan tersebut sekaligus mengurangkan tempoh menunggu rakyat Pulau Pinang untuk membeli Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A iaitu RM42,000, RMM Jenis B (RM72,500) dan RMM Jenis C (tidak melebihi RM300,000).

“ Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) melalui Bahagian Perumahan telah berjaya memastikan pemilihan daripada senarai menunggu yang begitu panjang dapat dipendekkan.

“Malahan, pemilihan untuk senarai menunggu yang dikendalikan oleh SPEC telah mencatat pencapaian memberangsangkan yang mana sebagai contoh, senarai permohonan bagi RMM Jenis A, di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) telah sampai ke tarikh semasa,” ujarnya pada sidang media di sini 8 Mac lalu.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Akhmal Abu Basar.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa perkara tersebut secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan dan peranan penting yang dimainkan kakitangan awam Bahagian Perumahan (Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) dalam memastikan keperluan rumah di Pulau Pinang adalah mencukupi.

“Difahamkan, sehingga kini, cuma 30,000pemohon masih berada dalam senarai menunggu (semua kategori) berbanding terdapat senarai menunggu sejak tahun 70-an ketika permulaan SPEC ditubuhkan berbanding kini cuma sehingga tahun 2012,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut memaklumkan, sejak tahun 2008 hingga terkini, sejumlah 74,161 rumah dari Jenis A hingga RMM RM300,000 sudah, sedang dan akan dibina.

“Seperti mana sedia maklum juga, Kerajaan Negeri sememangnya memberi keutamaan kepada pembekalan perumahan Jenis A dan B yang mencukupi bagi rakyat Pulau Pinang.

“Setakat ini, sebanyak 24,227 Jenis A dan B telah siap dibina di kelima-lima daerah antara tahun 2008 hingga 2017 berbanding 5,154 jenis sama yang siap dibina secara fizikal antara tahun 1999 hingga 2007 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN),” katanya.