Projek pemuliharaan dan pemeliharaan dua kubu kebal berjaya disempurnakan

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya menyempurnakan projek pemuliharaan dan pemeliharaan dua kubu kebal (pillbox) peninggalan Perang Dunia Kedua yang terletak di Teluk Kumbar, di sini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata bahawa kedua-dua kubu kebal tersebut dipilih sebagai projek rintis bagi memastikan kaedah konservasi yang dilaksanakan adalah bersesuaian dan mencukupi dalam menyempurnakan proses membaik pulih.

“George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) telah menjalankan kerja-kerja konservasi dan membaik pulih dua kubu kebal yang terletak di Kampung Nelayan dan Kampung Hutan Nibung dekat Teluk Kumbar.

“Kaedah pemuliharaan yang dicadangkan kepada kami adalah bertepatan serta dimaklumkan kerja membaik pulih dapat disiapkan dalam anggaran masa yang diberikan.

“Jika dapat dilihat, kedua-dua kubu kebal ini dipulihkan daripada kerosakan yang ketara, hakisan serta vandalisme,” ujarnya semasa sidang media Dua Projek Perintis Pemuliharaan dan Pemeliharaan Kubu Kebal dekat Teluk Kumbar, di sini pada 8 September 2022 lalu.

YEOH Soon Hin (tiga dari kiri) semasa sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Besar GTWHI, Ang Ming Chee.

Tambah Soon Hin, hanya kontraktor yang berpengalaman dilantik bagi melaksanakan projek tersebut kerana kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan memerlukan kemahiran yang tinggi.

“Antara elemen penting yang perlu dikekalkan adalah ciri-ciri sejarah serta nilai sentimental (kubu kebal) berkenaan demi memastikan ia kekal pada masa akan datang.

“Oleh sebab itu, kemahiran sensitif diutamakan dalam pelaksanaan projek ini ekoran penstrukturannya diperbuat daripada konkrit dengan campuran pasir, agregat dan simen, dengan penggunaan bar keluli untuk memberikan kekuatan pada struktur binaan,” katanya lagi.

Difahamkan, sebanyak 14 kubu kebal iaitu 13 di bahagian pulau manakala hanya satu di bahagian Seberang Perai telah dikenal pasti untuk dipulihara dan dipelihara dengan anggaran kos perbelanjaan berjumlah RM75,000.

Pada sesi yang sama, Soon Hin turut berkongsi beberapa elemen lain yang ditambah untuk memberi nafas baru terhadap dua kubu kebal tersebut.

“Jaring dawai dan penutup pelindung logam telah diperkenalkan bagi memastikan struktur kubu kebal lebih selamat dan berdaya tahan.

“Menariknya, beberapa jenis tumbuhan turut diperkenalkan seperti pandan (Pandanus amaryllifolius), serai (Cymbopogon citratus), lidah buaya (Aloe barbadensis miller) dan nanas kerang (Tradescantia spathacea) sebagai landskap baru,” jelasnya sambil memaklumkan pintu dengan bukaan dari luar dibina untuk keselamatan pengunjung bagi mengelakkan kerosakan pada kubu kebal.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI