Projek pengukuhan tembok di Esplanade siap, tingkatkan ketersambungan infrastruktur & interaksi sosial

Admin

PADANG KOTA – Projek pengukuhan dan penambahbaikan tembok penahan ombak beserta sesiaran pejalan kaki sepanjang 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah kini siap dan dibuka kepada umum.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa selaras Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa memastikan rangkaian reruang serta kemudahan awam di negeri ini dipertingkatkan bagi membolehkan ketersambungan interaksi sosial di kawasan-kawasan tumpuan umum.

 

“Misalnya, projek pengukuhan dan penambahbaikan tembok (penahan ombak) di sini yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti reruang awam dengan menyediakan kemudahan yang selesa dan selamat kepada pengunjung serta mampan dan inklusif untuk semua, terutamanya rakyat Pulau Pinang.

 

“Projek ini merupakan salah satu daripada 14 komponen projek di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang (Penang Northern Seafront Masterplan) melibatkan kos sebanyak RM12.9 juta yang dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), selain tambahan RM1.4 juta daripada Kerajaan Negeri untuk projek ‘linear garden’ yang akan dilaksanakan pada tahun ini sebagai pelengkap fungsi,” ujarnya pada Majlis Perasmian Projek Kerja-kerja Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut Padang Kota Lama dekat sini pada 13 Mei 2022.

 

KETUA Menteri bersama-sama dif-dif kehormat turut meluangkan masa berjalan kaki sepanjang sesiaran pejalan kaki di sini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

 

Turut serta, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran; barisan Ahli-Ahli Majlis MBPP; wakil-wakil daripada Think City; rakan-rakan kolaborasi Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town Sdn. Bhd. (GTCDC) serta Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.

 

Menurut Kon Yeow, pelaksanaan projek pengukuhan dan penambahbaik tembok penahan ombak mengalami kelewatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana lanjutan tempoh masa diberikan selama enam bulan (tempoh asal projek adalah tiga tahun).

 

“Walau bagaimanapun, projek ini telah disiapkan dalam tempoh tiga tahun setengah dengan mengekalkan nilai-nilai warisan, sejarah dan kehijauan kawasan sekitar.

 

“(Dan) saya berharap pihak MBPP dapat memberi perhatian dan pertimbangan atas cadangan saya untuk meletakkan salah satu daripada lima laras meriam yang ditemukan di sini di salah satu sudut sebagai peringatan susur galur sejarah dan warisan negeri Pulau Pinang,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Terdahulu, lima laras meriam berusia lebih 260 tahun telah ditemukan secara tidak sengaja di tapak projek berkaitan yang mana kerja-kerja ekskavasi dan konservasi dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara.

 

ANTARA sudut menarik yang bakal menjadi tumpuan umum untuk beristirahat dan bergambar kenangan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memaklumkan bahawa inisiatif pelaksanaan pelan induk tersebut dipertanggungjawabkan kepada pihak GTCDC, iaitu entiti kegunaan khas (special purpose vehicle) sejak tahun 2016 dengan nilai RM140 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri, MBPP dan Think City Sdn. Bhd. (Think City) sebagai rakan usahasama.

 

“Sebanyak 10 daripada 14 komponen projek di bawah pelan induk berkaitan telah disiapkan setakat ini dengan penglibatan pelbagai agensi, jabatan negeri dan pihak berkepentingan.

 

“Malah, projek-projek ini juga adalah sebahagian daripada projek inklusif untuk semua dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) George Town atau George Town Special Area Plan,” ulasnya.

 

Sebagai rekod, antara projek yang telah disiapkan di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang adalah kerja-kerja konservasi Kota Cornwallis; pemulihan ‘Fountain Garden’ bersebelahan Dewan Bandaraya; baik pulih menara jam bersejarah, Queen Victoria Memorial Clock Tower dan naik taraf sesiaran pejalan kaki di Lebuh Light.

 

Selain itu, kerja-kerja baik pulih Dewan Bandaraya dan kawasan sekeliling Kota Cornwallis masih dalam pelaksanaan dan akan disiapkan secara berfasa.

 

KETUA Menteri menyempurnakan perasmian berkaitan dengan menandatangani plakad dan diserahkan kepada Ar. Yew Tung Seang (empat dari kanan).

Sementara itu, Tung Seang yang turut berucap pada majlis tersebut memberitahu bahawa projek berkenaan merupakan projek serampang tiga mata melibatkan kerja-kerja pengukuhan serta penambahbaikan tembok penahan ombak, mewujudkan kawasan ketersambungan hijau (green connectivity) yang merupakan sebahagian daripada Penang Green Connectors Project serta meningkatkan mitigasi bagi kawasan Esplanade (Padang Kota Lama).

 

 

“Bagi pihak MBPP, saya amat berharap bahawa projek ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Pulau Pinang dan memohon supaya kawasan berkaitan dijaga sebaiknya,” serunya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD