Projek Perumahan KSR Pintasan Cecil ubah nasib, tempatkan semula penduduk setinggan di kediaman lebih moden lengkap kemudahan asas

Admin

PENGKALAN KOTA – Penyediaan rumah mampu milik (RMM) merupakan langkah pembangunan inklusif dalam mengubah kehidupan rakyat termasuk menempatkan semula penduduk setinggan di dalam kawasan perumahan yang lebih selesa dan lengkap.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Kos Sederhana Rendah (KSR) Pintasan Cecil di sini pagi ini.

Beliau memberitahu bahawa projek perumahan KSR Pintasan Cecil dibangun untuk menempatkan semula penduduk-penduduk di tanah tambun Pengkalan Weld iaitu sebuah perkampungan setinggan yang sekian lama didirikan tanpa kemudahan asas yang sempurna.

“Dengan kerjasama Kerajaan Negeri, tiga kawasan setinggan di kawasan Tanjong telah direjuvenasikan melalui satu konsep yang diusahakan oleh YB Jagdeep.

“Langkah untuk menyusun dan menempatkan semula penduduk-penduduk setinggan ini adalah bukti ikhtiar kita (Kerajaan Negeri) untuk mengubah nasib penduduk di kawasan sedemikian supaya apabila projek penempatan semula ini dilaksanakan, penduduk setinggan dapat menikmati perumahan lebih moden dengan segala kemudahan asas yang lebih lengkap,” ujarnya yang merupakan Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Projek satu blok 24 tingkat dengan 348 unit KSR serta kedai (9) akan dibangunkan di atas tanah seluas 2.059 ekar dengan kos pembangunan kasar (GDC) sebanyak RM55.9 juta dengan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar); Daniel Gooi Zi Sen ( ADUN Pengkalan Kota); Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP).

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi, walaupun perumahan yang ditawarkan tersebut bukanlah bernilai tinggi, namun nilai sebenarnya apabila ia siap kurang daripada tempoh tiga tahun kelak akan melebihi RM200,000.

“Ada golongan mengatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak membantu mereka yang memerlukan, malah ada menyatakan bantahan dengan berbagai-bagai cara.

“Tetapi, adakah mereka sedar bahawa sekiranya projek-projek ini tidak dilaksanakan… sampai bila-bila pun mereka ini akan berada dalam keadaan yang sama atau bertambah sukar pada masa hadapan, jadi projek pembangunan seperti ini dapat mengubah nasib serta kehidupan rakyat yang sememangnya menjadi tanggungjawab pihak kerajaan.

“Bagi projek ini, kita berharap apabila ia siap kelak, penduduk di kawasan setinggan Pengkalan Weld dapat dipindahkan ke sini dan di lokasi asal dapat dilaksanakan projek-projek bersesuaian dengan Tapak Warisan Dunia agar dapat memberi manfaat untuk satu golongan yang lebih besar lagi.

“Saya percaya, pasaran perumahan di Pulau Pinang akan terus berada di tahap yang baik selagi permintaan untuk unit-unit kediaman daripada golongan pertengahan, sederhana dan berpendapatan rendah dipenuhi,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : G. REVATIC
Video: ALISSALA THIAN