Projek PSR, Kerajaan Negeri mahu wujudkan formula alternatif lebih mampan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang melihat untuk mewujudkan suatu dana yang dapat memberikan pendapatan dalam masa panjang kepada penduduk yang terjejas secara langsung dengan pelaksanaan projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, berbanding pemberian tunai secara one-off, pihaknya kini sedang melihat untuk mewujudkan formula dana yang lebih mampan.

“Kita (Kerajaan Negeri) melihat untuk mewujudkan formula yang dapat memberi pendapatan jangka masa panjang sepanjang projek tersebut dilaksanakan berbanding pemberian tunai secara one-off dahulu.

“(Dan) apabila kita mengemukakan pakej, ia sebenarnya dapat mengimbangi kekhuatiran mereka (yang terjejas secara langsung dengan pelaksanaan projek PSR ini),” katanya kepada pemberita sejurus menghadiri sesi dialog dan jamuan makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Cawangan Pulau Pinang dan Wilayah Utara dekat sini tadi.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta supaya beliau memberi perhatian terhadap persepsi bahawa kawasan Melayu kian terhakis ekoran projek PSR, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mendengar pandangan yang disuarakan.

Kita (Kerajaan Negeri) memang mendengar pandangan umum (yang disuarakan), oleh itu kita cuba mencari suatu alternatif yang boleh menjamin (pemberian) bantuan jangka panjang dan bukannya bantuan tunai sekali sahaja.

“(Dan) seperti yang Datuk Seri Anwar (Ibrahim) kata, beliau memang tidak memberi sokongan ataupun bantahan, beliau cuma meminta Kerajaan Negeri menjaga kepentingan rakyat supaya tidak terlalu terjejas apabila projek-projek ini berjalan kelak,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta untuk menjelaskan pendirian parti itu berhubung projek PSR sejurus merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang di Sungai Rambai, Bukit Mertajam 13 Oktober lalu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI