Projek Pusat Transit Gelandangan mengikut jadual

GEORGE TOWN – Pusat Transit Gelandangan dibangunkan sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam membantu golongan yang menjalani kehidupan bergelandangan di sekitar pusat bandar raya George Town.

 

 

Terletak di atas tapak milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di No.19 Jalan C.Y. Choy, pusat yang berkeluasan 1,347 meter persegi ini dijangka siap pada bulan Oktober 2021.

 

 

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh ketika ditemui berkata bahawa mengikut perancangan awal projek yang kini sedang dalam pembinaan sepatutnya siap pada bulan Ogos 2021. Namun, dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, projek ini menerima arahan tempoh lanjutan masa.

 

PHEE Boon Poh ketika ditemu ramah di pejabatnya di Komtar.

 

Walau bagaimanapun kini, kerja-kerja pembinaan bagi projek ini sedang berjalan dan sudah mencapai 49 peratus serta mengikut jadual yang ditetapkan.

 

 

 

“Apabila siap kelak, Pusat Transit Gelandangan yang menelan kos sebanyak RM4.4 juta ini dijangka akan beroperasi menjelang Januari 2022 nanti,” ujarnya dalam sesi temu ramah di pejabatnya di Komtar lewat petang semalam.

 

 

Menurut Boon Poh, selain dilengkapi dengan taman poket dan kemudahan penginapan transit, pusat berkaitan turut menyediakan ruangan untuk aktiviti warga emas; ruangan kitar semula; dobi; kafe dan pusat komuniti yang bukan sahaja mesra warga emas malah orang kurang upaya (OKU) juga.

 

 

Bukan itu sahaja, pusat ini juga menawarkan perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan; kaunseling dan padanan kerja.

 

 

“Kaedah pengurusan dan penyeliaan pusat pula adalah terserah kepada badan bukan kerajaan Tzu Chi (Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia) seperti yang telah kita (Kerajaan Negeri) lakukan sebelum ini.

ILUSTRASI artis menunjukkan rupa bentuk bangunan Pusat Transit Gelandangan yang terletak di Jalan C.Y. Choy.

 

“Golongan yang menjalani kehidupan bergelandangan ini diselamatkan dan diletakkan di Kompleks Masyarakat Penyayang,” katanya yang merupakan ‘tulang belakang’ program pemerkasaan golongan bergelandangan negeri Pulau Pinang.

 

 

 

Difahamkan, golongan bergelandangan perlu mendaftarkan diri dan diasingkan mengikut jantina serta dikuarantinkan terlebih dahulu sebelum diberi kebenaran menggunakan kemudahan di Pusat Transit Gelandangan berkaitan.

 

 

Dalam pada itu, apabila disoal mengenai cabaran dan kekangan dalam menguruskan golongan bergelandangan ini, Boon Poh memaklumkan bahawa ia bukan tugasan yang mudah tetapi boleh dilakukan.

 

 

Mana-mana negeri pun menghadapi isu gelandangan, malah di negara maju seperti Jepun pun turut berdepan masalah sama.

 

 

“(Dan) sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan membantu golongan bergelandangan ini menyelesaikan masalah mereka. Misalnya bantuan daripada MBPP sebelum ini yang menyediakan rumah penginapan sementara (bersyarat) kepada golongan tersebut serta lain-lain bantuan termasuk intervensi dadah,” katanya.

 

 

PANDANGAN atas bangunan Pusat Transit Gelandangan yang kini dalam proses pembinaan 49 peratus.

Mengulas lanjut, Boon Poh menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mengumpul maklumat dan data golongan bergelandangan ini bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan.

 

 

Golongan bergelandangan di negeri ini dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu ‘homeless’ (tiada tempat berteduh); individu yang mempunyai masalah mental dan mereka yang terkandas dari luar negeri yang datang mencari rezeki di negeri ini.

 

 

“Bagi warganegara asing pula, mereka akan dirujuk kepada (Jabatan) Imigresen Malaysia atau kedutaan masing-masing dan ini termasuk pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) yang berada di sini,” jelasnya.

 

 

Sebelum mengakhiri temu bual, Boon Poh turut berkongsi ‘bayangan’ salah satu inisiatif Kerajaan Negeri yang terbaharu dalam membantu golongan terpinggir di negeri ini untuk mendapatkan makanan yang selamat dan berkhasiat.

 

 

“Masih di peringkat perbincangan, terlalu awal untuk dibincangkan, lagipun belum dimuktamadkan lagi. Apabila dimuktamadkan kelak, inisiatif ini bukan sahaja membantu mereka yang hidup bergelandangan untuk mendapat bekalan makanan yang selamat tetapi juga mereka yang terpinggir di negeri ini,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING