Pulau Pinang raih RM14.1 bilion pelaburan sektor pembuatan diluluskan pada 2020

PULAU Pinang terus menjadi destinasi pilihan para pelabur apabila berjaya mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan sebanyak RM14.1 bilion bagi tahun 2020 walaupun berdepan situasi ekonomi global yang mencabar.

Pada 4 Mac lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa angka tersebut adalah berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jelasnya, nilai memberangsangkan itu didorong oleh asas yang kukuh serta ekosistem yang berkeupayaan menyokong keperluan teknologi, produk dan strategi pertumbuhan industri jangka panjang.

“Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 75 peratus atau RM10.55 bilion daripada jumlah pelaburan pembuatan pada tahun 2020.

Dato’ Loo Lee Lian.

“Jumlah itu menjadikan Pulau Pinang sebagai penerima FDI sektor pembuatan ketiga tertinggi di Malaysia dan menyumbang sebanyak 19 peratus daripada FDI negara.

“Selain itu, pelaburan langsung domestik (DDI) pula melonjak 92 peratus dari tahun ke tahun kepada RM3.56 bilion pada tahun 2020,” katanya.

Tambah Kon Yeow, bagi suku keempat (Q4) 2020 Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan bernilai RM3.5 bilion melibatkan 58 projek dan dijangka menghasilkan 13,268 peluang pekerjaan baru di negeri ini.

“DDI meningkat 198 peratus tahun ke tahun kepada RM1.8 bilion pada Q4 2020, mewakili 51 peratus aliran masuk pelaburan pembuatan negara manakala baki 49 peratus atau RM1.7 bilion adalah daripada FDI,” ujarnya lagi.

Justeru, Kon Yeow berikrar bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan tumpuan untuk meningkatkan daya saing dalam sektor pembuatan bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan berkualiti tinggi.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual beberapa orang pemegang taruh untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai pencapaian pelaburan bagi negeri Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Dato’ Loo Lee Lian berkata bahawa prestasi cemerlang pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan di negeri ini pada tahun 2020 membuktikan ekosistem perindustrian Pulau Pinang adalah kukuh.

“Ia juga juga sebagai platform untuk menarik pelabur domestik dan pelabur asing untuk mengambil bahagian dan berkembang maju.

“Pasukan InvestPenang komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelabur dan kami akan terus bekerja keras untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan berkualiti tinggi,” ujarnya ketika dihubungi.

Datuk Jimmy Ong Chin Keng.

Nada sama turut disuarakan oleh Pengerusi Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Jimmy Ong Chin Keng yang mengatakan bahawa keadaan ekosistem yang baik menjadikan Pulau Pinang kekal menjadi lokasi menarik untuk pelaburan di rantau ini.

“Pertama sekali, bagi pihak FMM Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya menarik pelaburan berjumlah RM14.1 bilion pada tahun 2020 walaupun berdepan keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu.

“Ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang masih merupakan pilihan bagi FDI dan DDI terutamanya yang melibatkan pelaburan berstatus tinggi dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta perubatan.

“Dalam persekitaran yang kompetitif kini, para pelabur bukan hanya melihat kepada pulangan pelaburan (ROI) tetapi juga keseluruhan pakej termasuk isu-isu kelestarian jangka panjang berkaitan alam sekitar, sosial dan pentadbiran.

“Angka pelaburan yang tinggi juga pasti akan menarik lebih banyak pekerja mahir ke Pulau Pinang dan memberikan peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Datuk Finn Choong Khuat Seng menyatakan bahawa pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang kekal relevan sebagai destinasi pelaburan.

Datuk Finn Chong Khuat Seng.

“Pertama, tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri atas pencapaian yang luar biasa dan berusaha dengan baik memastikan Pulau Pinang tetap relevan walaupun dalam masa yang sukar ini.

“Ekosistem global sentiasa berubah (seperti keadaan politik negara kita) dan semua rakyat di negara ini termasuk Pulau Pinang harus menyesuaikan diri dan yang lebih penting adalah perlu merancang sesuai dengan perubahan ini.

“Saya secara peribadi percaya bahawa kehidupan rakyat adalah paling penting dan sekiranya Kerajaan Negeri dapat merancang serta memenuhi keperluan ini, maka sokongan politik akan datang walaupun terdapat sedikit tentangan.

“Ini adalah strategi yang baik telah oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sejak mentadbir negeri ini.

“Saya benar-benar berharap agar strategi jangka panjang ini akan berterusan supaya masa depan Pulau Pinang dan negara lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, usaha untuk membangunkan Pulau Pinang tidak pernah berakhir dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri perlu sentiasa bersedia untuk bertindak balas agar Pulau Pinang kekal relevan sebagai destinasi pilihan bagi bakal pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Kemikon Sdn. Bhd., Marcel Wismer turut memuji usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk menarik pelabur walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global akibat penularan pandemik COVID-19.

Marcel Wismer.

“Sekarang kami dapat melihat kekuatan luar biasa perindustrian Pulau Pinang terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

“Syarikat kami telah berjaya mencatatkan nilai jualan dalam tiga bulan terakhir dan sepanjang tempoh ini kami telah menggaji 20 peratus kakitangan tambahan.

“Kami juga melihat banyak projek industri daripada pelanggan kami dari luar negara dipindahkan ke Pulau Pinang.

“Bahkan banyak syarikat dari China dan Taiwan ingin mendapatkan pengetahuan daripada kami mengenai cara untuk menubuhkan perniagaan di Pulau Pinang,” jelasnya.

Beliau percaya bahawa Kerajaan Negeri telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin untuk menarik pelaburan asing dan memastikan mereka selesa berada di Pulau Pinang.

“Lihat saja kepesatan pembangunan di kawasan perindustrian Batu Kawan yang telah menunjukkan kejayaan pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan pasukannya.

“Dan saya harap prestasi cemerlang ini akan berterusan untuk tahun ini dan tahun-tahun akan datang,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ARKIB BULETIN MUTIARA