Projek RMM di Jalan S.P. Chelliah terima penarafan Indeks Bangunan Hijau bertaraf ’emas’

Admin

GEORGE TOWN – Projek Rumah Mampu Milik (RMM) dekat Jalan S.P. Chelliah, di sini menjadi projek pertama bagi kategori rumah mampu milik di negara ini yang akan menerima sijil Indeks Bangunan Hijau (Green Building Indeks, GBI) bertaraf emas.

Perkara itu dimaklumkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada sidang media dekat tapak projek perumahan berkenaan sebentar tadi.

“Satu lagi adalah rumah kategori kos sederhana rendah (KSR) juga akan menerima pensijilan GBI, walaupun bukan bertaraf emas tapi ia merupakan KSR pertama yang menerima penijilan ini.

“Ini adalah pencapaian yang begitu baik untuk negeri Pulau Pinang kerana ia selaras dengan hasrat kita (Kerajaan Negeri) untuk menjadi bukan sahaja bersih dan hijau, malah juga negeri pintar.

“Oleh itu, saya berharap pencapaian ini akan menjadi satu penanda aras kepada semua projek Kerajaan Negeri yang lain,” ujarnya.

GBI merupakan sistem penarafan yang mengambil kira beberapa ciri termasuk kelengkapan menjimatkan tenaga dan sumber seperti bumbung sejuk, panel tenaga solar, alat kecekapan air, perisian penuaian air hujan serta pengurusan sisa betul.

Terdapat empat kategori bagi klasifikasi untuk GBI iaitu, Disahkan (Certified), Gangsa (Silver), Emas (Gold) dan Platinum yang mana penilaian adalah bergantung kepada bilangan mata yang diberikan kepada bangunan selepas pemeriksaan.

Projek RMM di Jalan S.P. Chelliah dijangka menerima Sijil Perakuan Siap Kerja pada Jun 2019

Justeru, menurut Jagdeep, beliau akan meminta pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai agensi pelaksana untuk meneliti semula sama ada projek-projek di peringkat Kerajaan Negeri mampu dilaksanakan mengikut konsep perumahan di Jalan S.P. Chelliah.

“Ini juga akan menjadi contoh kepada pihak pemaju swasta lain untuk mencontohi pembinaan projek ini kerana jika kita (Kerajaan Negeri) mampu buat, mereka (pihak swasta) juga mesti mampu buat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Hadir sama, Presiden Bahagian Utara Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Datuk Ar. Lawrence Lim Hua Kwang; Pengerusi Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia, Baylon Tham Wai Leong dan Pengarah Eksekutif Edasas Aarchitects Sdn. Bhd., Ar. Muhammad Md. Hashim.

Difahamkan, projek perumahan di Jalan S.P. Chelliah dibangunkan oleh PDC dengan kerjasama pemaju, Zubicon Sdn. Bhd. di atas sebidang tanah berkeluasan 11.04 ekar milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP)

Ia terdiri daripada 2,093 unit yang mana sebanyak 770 unit adalah rumah kos sederhana rendah berharga RM72,000 seunit selain rumah mampu milik berharga RM200,000 (883 unit), RM300,000 (165) dan RM400,000 (275) yang dijangka bakal menerima Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) pada Mac 2019 serta Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Jun 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep juga berpendapat bahawa harga rumah di negara ini wajar diturunkan sekiranya bahan-bahan binaan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagaimana diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini.

“Saya gembira kerana pihak REDHA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) sedia menurunkan harga rumah antara enam peratus bagi rumah mampu milik berharga bawah RM300,000 dan 10 peratus bagi rumah biasa.

“(Dan) Saya akan bawa perkara ini kepada barisan Exco untuk melihat apakah polisi atau hala tuju kita (Kerajaan Negeri) setelah pengumuman ini dibuat bagi projek-projek yang akan datang,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG