Projek rumah mampu milik Ideal Residency Bukit Gelugor dijangka siap 2025

GEORGE TOWN – Sebanyak 97.5 peratus unit di skim perumahan projek Rumah Mampu Milik (RMM) Ideal Residency Bukit Gelugor yang dibangunkan oleh Ideal Property Group telah terjual setakat ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa peratusan itu adalah membabitkan 1,188 unit daripada 1,218 unit keseluruhan yang ditawarkan bagi projek tersebut.

“Ini jelas menunjukkan bahawa permintaan untuk projek rumah mampu milik seperti ini di negeri Pulau Pinang sangat tinggi.

“Semasa lawatan terakhir saya ke sini pada Oktober 2021, kemajuan projek ini hanya pada dua peratus, tetapi hari ini saya boleh mengesahkan bahawa projek itu kini telah mencapai 25.12 peratus.

“Walaupun menghadapi cabaran semasa pandemik COVID-19, saya gembira menyaksikan projek ini mencapai kemajuan yang baik sekarang.

“(Dan) say difahamkan, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025,” kata Jagdeep semasa lawatannya ke tapak pembinaan projek berkaitan dekat Bukit Gelugor di sini pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan Pengarah Jabatan Perancangan dan Pembangunan Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohd. Bashir Sulaiman.

Dibina di atas tapak seluas 8.075 ekar, projek tersebut terdiri daripada sebuah pangsapuri dengan 49 tingkat yang mana 41 tingkat terdiri daripada unit perumahan, enam tingkat dikhaskan untuk ruang parkir manakala dua tingkat lagi akan digunakan sebagai ruang rekreasi.

Selain itu, projek ini turut mengandungi kemudahan lain seperti kolam renang, taman rekreasi, gimnasium, dewan komuniti, gelanggang badminton dan gelanggang bola keranjang.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut berkata bahawa setakat ini, sebanyak 142,647 unit rumah mampu milik dan unit Sewa Beli sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan kerana negeri ini berusaha mencapai visi untuk menyediakan 250,000 unit RMM menjelang tahun 2030.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS