Projek Sedusun Tech Valley optimumkan hasil pertanian negeri

Admin

BERTAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bakal membangunkan Projek Sedusun Tech Valley dekat Relau, Paya Terubong melalui peruntukan berjumlah RM50 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek tersebut merupakan salah satu projek di bawah pembangunan ‘Lembah Silikon Pertanian’ di Pulau Pinang yang akan memfokuskan kepada industri pertanian pintar bagi meningkatkan hasil pertanian secara optimum.

“Sedusun Tech Valley sebenarnya adalah kesinambungan daripada Relau Agricultural Station yang dibangunkan sebelum ini dan projek ini akan mengambil tempoh dua tahun untuk disiapkan.

“Dengan sokongan NCIA dan Kementerian Ekonomi, maka satu bajet telah diluluskan untuk melaksanakan projek ini.

“Pada tahun ini, ia dimulakan dengan peruntukan RM1 juta untuk tujuan reka bentuk dan kemudian disusuli panggilan tender pada tahun depan melalui peruntukan RM50 juta yang telah diluluskan.

“Projek ini akan dibangunkan dengan mengadaptasikan penggunaan teknologi dan bakal menjadi lokasi agroteknologi dan agropelancongan yang menarik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Seminar Pelaburan Sektor Agromakanan Malaysia dan Perasmian Lembah Teknologi Sedusun dekat Bertam Resort di sini sebentar tadi.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Rosli Isa; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan & Pelaburan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Khalid Ibrahim; Pengarah Pertanian Pulau Pinang, Muhaimin Ibrahim serta ramai lagi.

Sebelum itu, Kon Yeow ketika berucap turut menekankan bahawa walaupun dikenali dengan nama jolokan sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang tidak pernah sesekali menafikan sumbangan sektor pertanian kepada pembangunan negeri ini.

“Pertanian mampan merupakan hala tuju Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan makanan di Pulau Pinang.

“Langkah ini juga membolehkan penggiat sektor pertanian seperti petani, penternak dan agroprenuer muda setempat menjana pendapatan yang kukuh dan menguntungkan,” jelasnya.

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan yang tinggi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), dan kini tiba masanya untuk Kerajaan Negeri memberi tumpuan dalam pembangunan mampan sektor pertanian.

“Ketika ini, daripada segi penghasilan sektor pertanian, Pulau Pinang telah pun menerajui dalam sektor akuakultur, durian dan juga padi.

“Saya yakin, apabila kepakaran kami dalam E&E digabungkan dengan pertanian berteknologi tinggi, negeri ini pasti mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan kukuh pada masa depan.

“Oleh itu, Sedusun Tech Valley merupakan platform terbaik untuk Kerajaan Negeri menggerakkan usaha berkenaan,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Sementara itu, Mohamad Haris menyatakan bahawa sektor pertanian merupakan antara fokus utama dalam perancangan NCIA dengan matlamat untuk meningkatkan daya saing, produktiviti dan adaptasi teknologi di wilayah utara.

 

“NCIA telah mewujudkan Zon Ekonomi AgriBio NCER AgriBio (NAEZ) dalam usaha memodenkan dan menambah nilai agromakanan negara serta mengurangkan kebergantungan kepada makanan import, khususnya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan seterusnya menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan.

“Usaha strategik ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (NAP) yang bertujuan untuk memacu kecekapan industri pertanian,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD