Projek Tebatan Banjir Bayan Baru bermula Mei – Exco

Admin

PANTAI JEREJAK – Projek Tebatan Banjir (RTB) Bayan Baru akan bermula Mei ini dengan kos sebanyak RM24 juta, umum Chow Kon Yeow baru-baru ini.

Beliau selaku Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir berkata, pelaksanaan projek tersebut akan memanfaatkan kira-kira 7,500 penduduk dan juga perniagaan di sekitar Bayan Baru, Jalan Mahsuri, Persiaran Mahsuri, Jalan Dato’ Ismail Hashim dan Jalan MayangPasir.

“Kejadian banjir kilat di kawasan ini dipengaruhi oleh faktor pasang surut paras laut melalui Sungai Keluang.

“Ia dianggarkan akan mengambil masa selama 24 bulan untuk diselesaikan iaitu pada bulan April 2020,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada sesi lawatan tapak di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah mencadangkan pembinaan collector drain sepanjang Sungai Relau, menaik taraf sistem saliran sedia ada sepanjang 3,200 meter (m), pembinaan crossing di enam lokasi dan pembinaan rumah pam baharu berkapasiti 12m3/s.

Menurut Kon Yeow, projek RTB Bayan Baru tersebut merupakan projek ketujuh daripada sembilan projek yang telah diluluskan pada Bajet 2017 Negeri membabitkan kos RM150 juta.

“Enam projek sudah memulakan kerja-kerja di tapak iaitu masing-masingnya di Mak Mandin, Sungai Permatang Rawa (2 projek), Taman Sri Rambai, Juru dan Taman Iping.

“Ini (RTB Bayan Baru) merupakan projek ketujuh dan bakal diikuti oleh RTB Kampung Naran di Batu Maung dan Alma.

“Justeru, kita berharap dengan pelaksanaan projek-projek RTB ini akan mengurangkan masalah kekerapan banjir di kawasan-kawasan terlibat,” jelasnya.