Naik taraf saliran, bina kolam takungan hilir Sungai Pinang demi minimum impak banjir

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARW INA MOHD .DAUD 

SUNGAI PINANG – Sejak tahun 2008 sehingga 2018, Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM195 juta wang Caruman Perparitan untuk tujuan menaik taraf 372 projek tebatan banjir di seluruh Pulau Pinang.

Perkara tersebut dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika  berucap dekat Majlis Penyempurnaan Kerja-kerja Tebatan Banjir dan Menaik Taraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi Banjir di Hilir Sungai Pinang di sini 1 April lalu.

Katanya, peruntukan Caruman Perparitan tersebut disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah bagi melaksanakan projek-projek mitigasi banjir di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Dalam tempoh sama juga, MBPP telah membelanjakan sebanyak RM50.40 juta daripada peruntukannya sendiri bagi menjalankan 37 projek berkaitan dalam usaha menangani kejadian banjir kilat di sekitar George Town dan Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

“Masalah banjir kilat memang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, kerana ianya adalah bencana alam dan tak mungkin kita ‘menang’ untuk berlawan dengan fenomena alam… jadi sebagai Kerajaan, kita hanya boleh berusaha menjalankan projek-projek tebatan banjir agar dapat mengurangkan impak banjir ke tahap minimum,” ujarnya sambil melahirkan harapan agar projek berkaitan akan memanfaatkan kira-kira 6,000 isi rumah di kawasan berkenaan.

Bagi tujuan tersebut, difahamkan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang  (MBPP) memperuntukkan sejumlah RM1.85 juta bagi menaik taraf saliran sekitar hilir Sungai Pinang bersama sebuah kolam takungan baharu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Projek tebatan banjir tersebut merupakan projek serampang dua mata yang berfungsi sebagai lokasi riadah sekiranya takungan air tidak penuh.

Dalam pada itu, Tung Seang memberitahu, masalah utama sekitar hilir Sungai Pinang adalah sistem perparitan sedia ada yang
tidak mampu untuk menampung isipadu air banyak, aras tanah rendah, kesan pasang surut air laut serta sampah sarap yang dibuang ke dalam sistem saliran hingga menyebabkan gangguan pada saliran air.

“Oleh yang demikian, pihak MBPP melalui Jabatan Kejuruteraan telah menaik taraf sistem saliran di kawasan ini serta menyediakan satu kolam tadahan banjir berkapasiti 5,000 meter padu untuk menyimpan sementara limpahan air sebelum dipam masuk ke dalam parit utama yang mengalir ke Sungai Pinang,” jelasnya.