Projek tebatan banjir berimpak tinggi SPT RM54 juta

PENANTI – Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM54 juta secara berperingkat mulai tahun ini untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir berskala besar di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah.

Exco Kerajaan Tempatan, Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif bersepadu membabitkan Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Pejabat Daerah & Tanah (PDT) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu diharap dapat mengurangkan lagi risiko banjir kilat di beberapa kawasan tumpuan bencana pada masa depan.

“Inilah projek berskala lebih besar yang akan dilaksanakan di Daerah SPT pada tahun ini untuk tempoh dua hingga tiga tahun, di mana peruntukan RM54 juta diperlukan bagi melaksanakan empat projek berimpak tinggi ini.

“Bagi tahun 2015, untuk kajian dan reka bentuk pemajuan, mungkin yang diperlukan adalah tidak banyak (peruntukan), tetapi, pada tahun 2016 dan 2017 adalah membabitkan kerja-kerja pemajuan mula dilaksanakan sampai siap.

“Kita (Kerajaan Negeri) rasa, selepas siap keempat-empat projek ini, ia akan membawa impaknya lebih luas dengan mengurangkan risiko banjir,” jelas beliau kepada wartawan di Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin di sini baru-baru ini.

ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut hadir pada majlis penerangan mengenai rancangan pembangunan masa depan projek tebatan banjir peringkat SPT yang dikendalikan oleh wakil JPS.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun ini menyalurkan peruntukan sebanyak RM875,000 kepada JPS untuk melaksanakan tujuh projek berskala kecil dan sederhana di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti.

Difahamkan, peruntukan itu untuk pembangunan rumah pam, pembinaan perangkap sampah, longkah konkrit jenis “u-drain” dan “v-section” serta tembok “gobion” di beberapa lokasi sekitar Kubang Semang, Kubang Ulu, Mengkuang Semarak, Tanah Liat, Mengkuang Titi dan sebagainya. PDT pula, tambah beliau, turut diberikan peruntukan sebanyak RM477,000 untuk melaksanakan 10 projek pemajuan serupa di KADUN tersebut.

“Keseluruhan anggaran kos projek yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dengan dilaksanakan oleh JPS SPT dan PDT SPT adalah sebanyak RM1,352.000,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.