Jeti nelayan Kg. Terus jangka siap Ramadan

PENANTI – Golongan nelayan Kampung Terus kini mampu menarik nafas lega apabila sebuah jeti bagi pontun (parkir) bot bakal didirikan di lokasi berkaitan dan dijangka siap menjelang Ramadan ini.

Jeti tersebut menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mampu menampung kira-kira 30 bot.

“Jeti ini bakal menyediakan pontun bot untuk kemudahan nelayan-nelayan di sini selain memudahkan golongan berkaitan turun ke bot masing-masing dengan lebih selesa dan selamat berbanding kini.

“Projek ini sebenarnya diilhamkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti (kini Ahli Parlimen Nibong Tebal), Dato’ Mansor Othman sebelum kita (Kerajaan Negeri) berbincang bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kewangan Negeri,” ujarnya ketika Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jeti Nelayan Kampung Terus, Seberang Perai Tengah (SPT) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Mansor dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Ghazali.

Pada majlis tersebut, Afif yang juga ADUN Seberang Jaya melepaskan benih anak-anak udang di sungai berkaitan.

Dalam pada itu, Mansor memberitahu bahawa idea dikemukakannya sebelum ini tidak hanya terhad kepada jeti nelayan sematamata, sebaliknya juga untuk kepentingan sektor pelancongan.

“Bila adanya jeti di sini, saya lihat Kampung Terus boleh menyediakan perkhidmatan bot siar menyusuri Sungai Perai bagi menikmati keindahan sekeliling,” ucap beliau.