Projek tebatan banjir Kampung Pokok Asam dijangka siap Oktober

9cff40d8 d817 4ab8 85f3 93e11b8ee25a

SUNGAI PINANG – Projek tebatan banjir Parit Monsun di Kampung Pokok Asam bernilai RM4.25 juta dijangka bakal meningkatkan keupayaan sistem saliran kawasan berkenaan yang sebelum ini kerap dilanda banjir kilat ketika hujan lebat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, projek yang dimulakan pada 26 Julai 2024 itu penting bagi menangani masalah banjir di Kampung Pokok Asam yang merupakan kawasan rendah dalam tadahan, dan sering menerima limpahan air ketika hujan.

Menurut beliau, walaupun jumlah rumah yang terjejas dalam setiap kejadian banjir lazimnya kurang daripada 20 buah, projek tebatan berkenaan tetap diperlukan bagi meningkatkan tahap perlindungan dan mengurangkan gangguan kepada penduduk setempat.

“Projek ini diharap dapat mengurangkan kejadian banjir kilat yang berlaku beberapa kali setahun, khususnya ketika hujan lebat dan air pasang tinggi.

“Bagaimanapun, kita tidak menjanjikan penyelesaian 100 peratus kerana setiap projek mempunyai had kapasiti berdasarkan reka bentuk dan keluasan tadahan yang terlibat.

“Projek ini kini berada pada peringkat akhir pelaksanaan, dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan dekat Lintang Tengku, Jelutong di sini pada 4 September 2026.

4035297c 6a12 49db bcfb bbfeed5ae193 2a7f013b 5e01 45ce 8ba3 e84c5d6f0aa2 b5398492 0f10 4d83 9ad0 e5e7b780b24d
Turut hadir, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer; Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Ir. Mohamad Ayub Ishak; Jurutera Daerah Timur Laut JPS, Mohd. Na’im Sulaiman;  barisan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan wakil-wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa projek itu merangkumi pembinaan rumah pam yang dilengkapi dua unit ‘screw pump’ berkapasiti 1.0 meter (m) padu sesaat setiap satu, selain kerja lencongan parit monsun, pembetungan dan infrastruktur berkaitan.

“Penggunaan screw pump dipilih kerana lebih sesuai untuk keadaan di kawasan berkenaan berbanding pam tenggelam, khususnya bagi mengurangkan masalah gangguan akibat sampah yang boleh menjejaskan operasi pam.

“Dengan adanya rumah pam ini, air dari parit monsun dapat dialirkan keluar dengan lebih berkesan, terutama ketika berlaku hujan lebat dan fenomena air pasang besar.

“Kawasan rumah pam juga akan dipagar bagi memastikan keselamatan orang awam serta melindungi peralatan yang dipasang,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

10bf434e ea25 44c7 871c 87beb41df506 bec9a47b 053d 4344 983b 6f7c7af88931 4e9eaae5 2d73 4b94 bf71 0e3f89347d72
Difahamkan, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan lencongan parit monsun berukuran 3m x 3.6m sepanjang 12m yang menghubungkan parit monsun sedia ada ke screw pump, selain pembetung baharu berukuran 750 milimeter (mm) x 750mm sepanjang 15m.

Menurut Kon Yeow, pelaksanaan projek itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri untuk meningkatkan keupayaan sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko.

Pada kesempatan sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Exco berkaitan, pihak JPS negeri dan daerah, barisan MPKK serta jawatankuasa surau dan masjid atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek.

Buletin Mutiara difahamkan, Kampung Pokok Asam sebelum ini merupakan antara lokasi ‘hotspot’ yang sering dilanda banjir kilat, dengan kejadian berlaku secara purata setiap tahun dan memerlukan pengoperasian pam bergerak bagi mengurangkan risiko banjir ketika hujan lebat serta air pasang.

Pada masa sama, pembangunan pesat di sekitar kawasan turut mengubah aliran air permukaan, manakala kapasiti sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu menampung aliran air yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS