BUKIT TAMBUN – Enam dekad selepas menjadi tuan rumah Jambori Pengakap Malaysia yang pertama pada 1966, Pulau Pinang sekali lagi mencipta sejarah apabila menghimpunkan 7,238 peserta dan anggota pasukan perkhidmatan dari seluruh negara serta 13 negara luar pada Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 Jubli Intan.
Jambori yang berlangsung sejak 29 Ogos lalu,melabuhkan tirai malam ini dengan acara perasmian penutup yang disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan dekat sini.

Dalam ucapannya, Kon Yeow yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang berkata, edisi kali ini merekodkan 6,180 peserta kebangsaan, 489 peserta antarabangsa dan 569 anggota pasukan perkhidmatan.
“Pulau Pinang merekodkan penyertaan tertinggi iaitu seramai 1,291 orang, diikuti Perak (687), Johor (626), Kedah (608) dan Selangor (559).
“Suka untuk saya kongsikan bahawa jambori kali ini turut menghimpunkan peserta antarabangsa dari 13 negara, antaranya Sri Lanka, Indonesia, Maldives, Vietnam, Korea Selatan, Bangladesh, China, Thailand, Australia, Singapura, Brunei, Filipina dan Hong Kong.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding jambori tahun sebelumnya yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta.
“Ini membuktikan bahawa minat dan sokongan terhadap gerakan Pengakap terus berkembang, khususnya dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Selain itu, Kon Yeow menyorot nilai sejarah yang cukup bermakna apabila Pulau Pinang kembali menjadi lokasi perkumpulan berskala besar tepat 60 tahun selepas menjadi tuan rumah jambori pertama.
“Tepat 60 tahun kemudian, Pulau Pinang sekali lagi diberi kepercayaan menjadi lokasi perkumpulan berskala besar tersebut.
“Penyertaan luas dari dalam dan luar negara ini bukan sekadar menjadi medan pertemuan, malah berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi Pengakap dahulu, kini dan selamanya untuk membina persahabatan merentas budaya serta sempadan,” jelasnya.
Menurut beliau, penganjuran acara kepengakapan berskala besar itu turut selari dengan Visi Penang2030, khususnya dalam memperkukuh perpaduan, membina masyarakat yang inklusif serta memupuk generasi muda yang berdaya kepimpinan.
Sehubungan itu, beliau menggesa para peserta supaya tidak membiarkan semangat perpaduan dan persahabatan yang dibina sepanjang jambori terhenti sebaik sahaja acara berakhir.
“Jadikan Pengakap sebagai wadah yang merangkul semua; kita mungkin datang dari negara, negeri dan latar belakang yang berbeza, tetapi dalam seragam Pengakap, kita adalah satu keluarga.
“Kerana akhirnya, jambori ini mungkin berakhir di sini, tetapi semangat Pengakap akan terus hidup dalam diri kita, walau di mana sahaja kita berada,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Berucap sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang merangkap Ketua Kem Jambori, Dato’ Zulkafli Kamaruddin, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan Jambori Pengakap Malaysia Ke-15.
Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani, turut berucap pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat merangkap ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Muhamad Ghopran Yeop Hamzah dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Dato’ Ahmad Shazilly Dato’ Ismail Bakti.
Acara penutup turut diserikan dengan nyanyian lagu kepengakapan serta persembahan budaya daripada peserta pelbagai negara, sekali gus melengkapkan jambori yang menjadi wadah pertemuan, perkongsian pengalaman dan pembinaan persahabatan dalam kalangan generasi Pengakap.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN