Projek tebatan banjir RM1.8 juta, kajian rentas negeri antara langkah atasi banjir di SPU

Admin
88e11912 0b55 4f27 9b35 eaf71f800f51

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) komited merencana pelbagai strategi jangka pendek dan panjang merangkumi peruntukan RM1.8 juta serta pelaksanaan kajian rentas negeri bagi menangani isu banjir di Seberang Perai Utara (SPU).

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, isu banjir di kawasan berkenaan melibatkan tiga lembangan sungai utama iaitu Lembangan Sungai Lokan, Lembangan Sungai Lahar Endin dan Lembangan Sungai Badur.

Memperincikan peruntukan RM1.8 juta yang disediakan bagi projek tebatan banjir Fasa 2 di daerah SPU, Zairil menjelaskan bahawa JPS menyediakan peruntukan RM1.5 juta untuk dua projek utama, manakala MBSP memperuntukkan RM300,000 bagi perkhidmatan perundingan.

“Kerja-kerja membaik pulih sistem saliran Sungai Maklum dan Sungai Lokan melibatkan kos RM200,000 yang telah bermula pada 14 Ogos dan dijadualkan siap pada 6 November.

“Manakala kerja pemulihan kolam takungan banjir Sungai Maklum pula melibatkan kos RM1.3 juta yang bermula pada 4 September dan dijadualkan siap pada 4 Disember 2024.

“Selain itu, MBSP memperuntukkan RM300,000 bagi perkhidmatan perundingan kajian dan reka bentuk terperinci projek mitigasi banjir di Taman Bertam Indah, yang mana kos fizikal akan ditentukan selepas cadangan reka bentuk dimuktamadkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 2 November 2026.

12475430 4275 474d bcfd bead15b78b4bZairil turut menjelaskan beberapa langkah penambahbaikan lain, antaranya perancangan pengerukan dan pengalihan enapan di Parit Pokok Sena, Sungai Lokan serta Sungai Selarong Kijang bagi mengembalikan kapasiti saliran mengikut reka bentuk asal.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa turut dilaksanakan adalah kerja-kerja penyelenggaraan berkala seperti pembersihan parit perimeter sekitar kawasan perumahan Bertam, pembersihan kolam takungan setiap dua bulan, pengerukan enapan kolam setiap enam bulan dan pembersihan perangkap sampah secara rutin.

Bagi kawasan Taman Bertam Indah, beliau menyatakan bahawa langkah fizikal merangkumi pembinaan parit tebatan di Lorong Bertam Indah 4 serta pelantikan perunding bagi perancangan menaik taraf parit secara berfasa.

Sementara itu, Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga memberitahu bahawa kajian reka bentuk terperinci sedang dijalankan bagi Lembangan Sungai Lahar Endin di bawah perancangan tebatan banjir jangka panjang yang kini berada pada peringkat penyediaan konsep.

Dalam sesi soalan tambahan, Reezal Merican menzahirkan kebimbangan mengenai kekerapan insiden banjir yang berulang serta bertimpa-timpa di SPU, susulan daripada perubahan cuaca luar jangka atau kelemahan perancangan.

Zairil kemudian memberitahu bahawa pelan induk (Masterplan) saliran sedia ada sentiasa disemak dari semasa ke semasa di setiap daerah.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pelan peringkat daerah sahaja tidak memadai memandangkan limpahan air kerap berpunca dari kawasan luar sempadan negeri.

“Oleh kerana banyak banjir yang berlaku di kawasan-kawasan Seberang Perai adalah akibat daripada air yang melimpah daripada negeri jiran, pelan induk dalam daerah tidak mencukupi. Ia memerlukan pelan induk yang holistik dan melihat secara rentas negeri (cross-state).

“Perbincangan bersama JPS Malaysia telah dijalankan dan peruntukan disediakan bagi melaksanakan kajian rentas negeri ini, yang mana ia (kajian) akan meneliti impak aliran air dari kawasan hulu di Negeri Kedah yang melimpah masuk ke kawasan kita di Pulau Pinang,” tambahnya sambil memberitahu bahawa kajian terperinci tersebut telah dimulakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING & SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN