Promosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan durian

Admin

GEORGE TOWN – Pelancongan durian merupakan salah satu sektor agropelancongan yang berpotensi untuk dimajukan di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya akan membantu Pulau Pinang untuk mempromosikan industri pelancongan durian terutama kepada pelancong luar negara.

“Industri agropelancongan berasaskan durian ini sebenarnya mendapat permintaan tinggi bukan sahaja peminat ‘Raja Buah’ tempatan tetapi juga daripada luar negara.

“(Selain) kualiti durian yang terbaik, durian Pulau Pinang juga mempunyai pelbagai variasi sehinggakan ada yang sanggup terbang dari Hong Kong, Indonesia dan lain-lain negara semata-mata mahu menikmatinya.

“Saya mahu buah durian menjadi ikon dan tarikan untuk Pulau Pinang, saya mahu Pulau Pinang menjadi destinasi pelancongan durian terkenal,” ujarnya pada sesi taklimat khas di Bangunan Komtar, pada 16 Januari lalu.

Tze Tzin hadir ke Komtar bagi mengadakan kunjungan hormat terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

 

SIM Tze Tzin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ahmad Azrizal Tahir dan R. Hari Krishnan serta beberapa wakil daripada jabatan negeri.

Mengulas lanjut, Tze Tzin memaklumkan bahawa pihaknya telah bertemu dan berbincang bersama-sama Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berhubung hasrat mempromosikan pelancongan durian atau ‘durian tourism’ di negeri ini.

“Saya melihat potensi besar yang boleh dibangunkan di sini (Pulau Pinang) dan Pusat Pertanian Relau sebagai lokasi strategik untuk mengukuhkan lagi industri ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

Terdahulu, Tze Tzin diberikan taklimat mengenai struktur pentadbiran di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah.

Sesi taklimat kemudiannya diteruskan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), M. Maheswari yang membentangkan mengenai perkembangan semasa projek-projek yang dilaksanakan di negeri ini.

 

M. Maheswari ketika membentang perkembangan projek semasa di Pulau Pinang.

Antaranya, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP); projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas; Pan Island Link; Penang South Reclamation (PSR), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) serta projek-projek tebus guna tanah.

Dalam pada itu, Tze Tzin menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Pulau Pinang sehingga ke hari ini.

“Sekiranya semua projek-projek yang dirancang dan sedang berjalan dilaksanakan dengan jayanya, maka 20 hingga 30 tahun lagi pastinya Pulau Pinang menjadi negeri yang berbeza dan lebih mampan.

“Bagi pihak Kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani, MOA), saya akan cuba membantu terutama dalam memastikan sektor pertanian terus malar segar dan tidak ‘dihanyutkan’ oleh pembangunan.

“Hal ini kerana, pertanian merupakan fundamental yang membekalkan makanan kepada kita dan kita perlu terus memberi perhatian sewajarnya,” ulasnya sebelum mengakhiri pertemuan yang berlangsung selama 90 minit itu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS