Promosikan Skim i–Saraan demi hari tua

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini sebentar tadi.

 


Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Hamzah mengenengahkan usaha sama bagi membantu mempromosikan Skim i–Saraan yang memberi fokus kepada individu bekerja sendiri.

 

 

“Secara peribadi, sememangnya saya menyokong skim tersebut demi membantu individu-individu yang bekerja sendiri untuk berdepan dengan hari tua kelak.

 

 

“Di Pulau Pinang, kita memang dijangka berdepan dengan isu masyarakat ‘berusia’ ekoran jangka hayat rakyat yang kini meningkat berbanding sebelum ini.

 

 

“Kita memang perlu lakukan sesuatu agar masyarakat tidak berdepan dengan beban kewangan dalam tempoh usia lanjut,” ujar Kon Yeow sebagai maklum balas berhubung cadangan dikemukakan.

 

Hadir sama, Ketua Negeri KWSP Pulau Pinang, Muhammad Shuhaili Mohd. Shafie dan Ketua Perkhidmatan KWSP Seberang Jaya, Mohammad Khairri Ibrahim.

 

 

Hamzah dalam pada itu turut menyatakan bahawa KWSP turut berdepan dengan cabaran tersendiri terutamanya melibatkan kempen kesedaran mengenai simpanan hari tua dan Skim i–Saraan.

 

 

“Justeru, kami turut mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Negeri mempunyai sebarang cadangan dalam menambah baik perkhidmatan KWSP.

 

 

“Ini adalah amat penting dalam mengimbangi peningkatan usia dalam masyarakat agar sepadan dengan simpanan, itu yang perlu kita didik,” ulasnya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING