Proses beri projek lebuhraya kepada Europlus perlu dijelaskan PM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa menjelaskan proses pemberian projek membina Lebuhraya Banting-Taiping yang bernilai RM7.07 bilion kepada Kumpulan Europlus Bhd. (Europlus), sama ada dilakukan secara tender terbuka atau sebaliknya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini berkata, beliau berasa curiga kerana Europlus mendahului kerajaan pusat dengan mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima surat kelulusan membina projek tersebut.

“Apakah tender terbuka dijalankan untuk perjanjian ini, dan jika tidak kenapa? Jika ya, siapa lagi yang menyertai (proses tender terbuka) dan kenapa mereka dipilih?,” tanya beliau pada satu kenyataan media di sini
baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pengumuman yang dilakukan oleh Europlus itu hakikatnya berlanggaran prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban awam.

Malah, Guan Eng turut mempersoal kelayakan Europlus kerana pemaju itu dikatakan tidak mempunyai rekod prestasi bina-kendali-pindah (BOT) yang baik.

“Kenapa Europlus dipilih…pemiliknya mempunyai rekod permasalah dalam projek perumahan?,” tanya Guan Eng.Dalam pada itu, beliau berasa curiga kenapa Kerajaan Persekutuan belum lagi membuat pengumuman mengenai konsesi lebuhraya yang jelas melanggar prinsip asas ketelusan dan kebertanggungjawab awam.

Sebelum Kerajaan menandatangani perjanjian dengan Europlus, Perdana Menteri hendaklah memastikan bahawa 7 soalan berikut dijawab:

1. Adakah tender terbuka dijalankan untuk perjanjian ini, dan jika tidak, kenapa? Jika ya, siapa lagi yang menyertai dan kenapa mereka tidak dipilih?

2. Kenapa Europlus dipilih, sedangkan mereka tidak mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam bina-kendali-pindah (BOT) sektor lebuhraya, dan pemilik utamanya mempunyai sejarah permasalahan dalam projek perumahan?

3. Bagaimanakah Kerajaan boleh memberi tempoh konsesi selama 60 tahun, iaitu yang terpanjang dalam sejarah Malaysia dan kedua hanya kepada perjanjian pembekalan air selama 100 tahun kepada Singapura yang telah dimeterai pada tahun 1960an?

4. Apakah rasional untuk penganugerahan pinjaman mudah sebanyak RM2.24 bilion dari tahun 2013 pada kadar faedah 4% serta subsidi faedah 3% untuk pinjaman komersial selama 22 tahun? Kedua-dua subsidi ini berjumlah RM4 bilion jika prinsipal pinjaman adalah RM6 bilion.

5. Kenapa perlu Kerajaan membayar RM980 untuk pengambilan tanah sedangkan ini projek swasta?

6. Kenapa kos lebuhraya 316km ini yang berjumlah RM7.07 bilion atau RM22.3 juta setiap km adalah dua kali ganda kos pembinaan lebuhraya yang sama di India dengan kos RM10 juta setiap km?

7. Jika konsesi tol terbaru ini adalah alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan yang sesak, kenapa berhenti di Taiping? Kenapa konsesi Europlus tidak dilanjutkan kepada Pulau Pinang yang mengalami kesesakan yang lebih teruk? Ini tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang dan juga Kedah.

“Dengan tempoh konsesi 60 tahun yang dianugerahkan oleh Jabatan Perdana Menteri bermakna beberapa generasi rakyat Malaysia akan terpaksa membayar tol dari generasi saya hingga ke cucu-cicit saya.

Ini langsung tidak boleh diterima kerana tempoh konsesi yang begitu lama ini hanya menguntungkan segelintir kroni syarikat pengendali tol yang akan mengaut keuntungan maha-Firaun manakala yang ruginya 28 juta rakyat Malaysia,’’ tegas Guan Eng.