Jalan dan jambatan Jalan Song Ban Kheng bakal dinaiktaraf

Oleh: ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri menggunakan jengkaut sebagai simbolik merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pelebaran dan Menaiktaraf Jalan serta Jambatan di Jalan Song Ban Kheng di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri menggunakan jengkaut sebagai simbolik merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek  Pelebaran dan Menaiktaraf Jalan serta Jambatan di Jalan Song Ban Kheng di sini baru-baru ini.

BUKIT MERTAJAM – Bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas dan jaminan kepesatan pembangunan di sini, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif khas untuk melebar dan menaiktaraf jalan serta jambatan di Jalan Song Ban Kheng, Seberang Perai Tengah dengan kos berjumlah RM20,415,816.60.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng percaya bahawa pelaburan tersebut akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, malah, menegaskan bahawa kontraktor yang dipilih adalah melalui tender terbuka yang telah menjadi dasar Kerajaan Negeri.

“Di dalam proses tender projek, Kerajaan Negeri turut mengenakan kaedah baru di mana tempoh tanggungan kecacatan (defect liability period) dipanjangkan dari satu tahun hingga tiga tahun, iaitu lanjutan masa baru di Pulau Pinang. Ini bermakna, pihak kontraktor disyaratkan untuk menjalankan kerja-kerja senggaraan jalan tersebut selama tiga tahun daripada tarikh perakuan siap kerja.

“Ini tidak bermakna Kerajaan Negeri akan berkompromi dari segi kualiti atau keselamatan. Sebaliknya, sistem ini dapat mendidik dan mendorong kontraktor tempatan supaya menjadi lebih kompetitif dan dapat bersaing dalam semua keadaan dan di mana-mana termasuk peringkat antarabangsa,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah di Persimpangan Jalan Song Ban Kheng/Jalan Binjai di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Tan Cheong Heng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng serta beberapa tetamu jemputan khas.

Kata beliau, projek menaiktaraf jalan tersebut bakal melibatkan komponen-komponen seperti naiktaraf jalan dari dua lorong ke empat lorong sepanjang 2.8 km, pembinaan dua buah jambatan iaitu merentasi parit tanah dan Sungai Rambai, pelebaran Jalan Belimbing sepanjang 400 meter, pembinaan longkang, pembinaan ‘box culvert’ serta kerja-kerja elektrik iaitu pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat.