PUIDPP sumbang Pusat Nyahkuman bergerak, harap bantu basmi penularan COVID-19

Admin

PULAU BETONG – Pertubuhan Usahawan Industri Desa Pulau Pinang (PUIDPP) mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Pusat Nyahkuman Bergerak di kawasan Pasar Awam Balik Pulau, di sini, sebagai usaha membasmi penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Agungnya, John Ooh Sin Hwa berkata, projek rintis tersebut diilhamkan selepas melihat inisiatif sama digunakan oleh negara China ketika penularan wabak COVID-19 di sana.

“Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk menyahkuman oleh orang awam apabila selesai mengunjungi pasar ini, tetapi boleh juga dimanfaatkan oleh pemandu e-hailing sebelum pulang ke rumah.

“Ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, di mana ia dilengkapi dengan alat pengimbas dan isian semula secara automatik.

“Usaha kecil ini adalah sebagai menyahut seruan Perdana Menteri yang menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama menyumbang kepada rakyat sewaktu krisis ini,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan Pasar Awam Balik Pulau, di sini pagi tadi.

Hadir sama Setiausaha Sulit Kepada Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Fitri Ibrahim.

Difahamkan bahawa sebuah pusat nyahkuman tersebut melibatkan peruntukan kos RM4,000.

Mengulas lanjut, Sin Hwa memberitahu bahawa pihaknya juga merancang untuk menempatkan lebih banyak pusat nyahkuman di lokasi-lokasi awam seperti pasar atau hospital.

“Buat masa ini cabarannya adalah untuk mendapatkan bahan mentah memandangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak kedai yang tutup,” ujarnya lanjut.

Lebih menarik, Pusat Nyahkuman Bergerak tersebut menggunakan tanda pagar #makcikkiahsumbangbalik sebagai simbolik kepada dana kerajaan yang digunakan untuk disumbangkan semula kepada rakyat.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI