Pulau Pinang ada pelan kontigensi elak krisis air negeri berulang, Zairil respons ADUN Batu Uban

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil inisiatif jangka masa pendek dengan membuat pemasangan sistem amaran awal kualiti air mentah di muka sauk Lahar Tiang yang mana pemasangan alat itu telah disiapkan pada September 2022.

Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bahawa pemasangan alat tersebut adalah bertujuan untuk mengesan kualiti air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda.

Zairil berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berhubung perancangan Kerajaan Negeri bagi mengelakkan krisis bekalan air daripada berulang lagi.

“Bagi pelan jangka masa sederhana dan panjang, Kerajaan Negeri melalui PBAPP juga telah merangka pelan kontigensi Raw Water Contigency Plan (RWCP 2030) melibatkan kerja menaik taraf tangki sedimen Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang telah siap pada tahun ini, pakej 12A LRA Sungai Dua yang sedang dalam pembinaan, pembinaan LRA Mengkuang (Fasa 1) yang dijangka siap pada tahun 2025, pembinaan LRA Sungai Muda (Fasa 1) dan LRA Sungai Perai dijangka siap pada tahun 2028.

“Sekiranya kerja-kerja membina dan menaik taraf infrastruktur bekalan air di bawah RWCP 2030 ini disiapkan sepenuhnya ia akan menyumbang kepada penambahan kapasiti air mentah sebanyak 569 MLD,” jelas Zairil semasa sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 23 November 2022.

Di samping itu, Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui PBAPP juga akan membangunkan infrastruktur kejuruteraan bekalan air untuk memaksimumkan kapasiti pelepasan air sebanyak 1,000 juta liter padu sehari (MLD) dari Empangan Mengkuang bagi membolehkan operasi pelepasan air dari empangan tersebut dilaksanakan setiap hari bagi mengurangkan risiko air mentah dari Sungai Muda pada masa hadapan.

Buletin Mutiara difahamkan bencana banjir di Baling Kedah pada 6 Julai 2022 mengakibatkan kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) telah memaksa operasi LRA Sungai Dua dihentikan serta membawa gangguan bekalan air di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI