Pulau Pinang agih RM3 juta bantuan selenggara kepada 170 SK, SMK

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang buat julung kalinya mengumumkan agihan peruntukan tahunan untuk kerja-kerja menyelenggara 170 sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pentadbirannya komited untuk saling bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan hari ini dalam meningkatkan kualiti sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan ini.

“Mulai tahun ini (2019), Kerajaan Negeri akan memainkan peranannya dan menghulurkan peruntukan yang sewajarnya kepada SK (Sekolah Kebangsaan) dan SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) juga,” jelasnya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada SK dan SMK Negeri Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar pada 17 Jun 2019.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Dr. Mahanom Mat Sam.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan Teh Lai Heng (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar.

Turut serta, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk); Ong Ah Teong (ADUN Batu Lancang); Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas); Lee Chun Kit (ADUN Pulau Tikus); Zolkifly Md. Lazim (ADUN Teluk Bahang); A. Kumaresan (ADUN Batu Uban) dan Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam).

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri tiap-tiap tahun sejak 11 tahun menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM1.75 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR); Sekolah Mubaligh dan Cina (RM8.5 juta)
serta Sekolah-sekolah Tamil (RM1.75 juta)

Dalam pada itu, Ramasamy menyatakan pihaknya dimaklumkan bahawa dana yang diperuntukan oleh Kementerian Pendidikan adalah tidak mencukupi, walaupun sekolah-sekolah kebangsaan (SK) dan SMK adalah institusi pendidikan yang mendapat bantuan penuh daripada Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun sekolah-sekolah ini adalah sekolah mendapat bantuan penuh Kerajaan (Persekutuan), masih terdapat banyak sekolah memerlukan dana untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan struktur pada kadar segera.

“Saya difahamkan bahawa dana yang diterima daripada Kementerian Pendidikan adalah tidak mencukupi.

“Saya pun telah membawa isu ini kepada perhatian Exco dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan Ketua Menteri Pulau Pinang (untuk mendapatkan peruntukan berwajib,” ujarnya yang juga ADUN Perai.

Lanjutan itu, Ramasamy turut merakamkan penghargaan atas kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri serta inisiatif Kon Yeow yang segera meluluskan permohonan peruntukkan berwajib.

Serentak itu, Mahanom merakamkan penghargaan atas kecaknaan Kerajaan Negeri hari ini dalam membantu Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan kerja-kerja memperbaiki infrastruktur fizikal sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan.

“Walaupun dengan peruntukan (tahunan sebanyak RM3 juta) ini, kita sedia maklum adalah tidak akan boleh menyelesaikan segala masalah berkaitan projek-projek pulihara infrastruktur serta prasarana sekolah, namun, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang amat bersyukur.

“Sekurang-kurangnya peruntukan (RM3 juta) itu telah memberi manfaat langsung kepada 170 sekolah yang dirancang,“ katanya sambil menyeru semua warga pendidik agar terus menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI
Video : LAW SUUN TING