GEORGE TOWN – Saringan COVID-19 secara skala besar (mass screaning) akan dijalankan terhadap pekerja warga asing di Pulau Pinang mulai 4 Januari 2021.
Saringan di bawah program Penang S.A.F.E ini merupakan hasil kerjasama inovatif di antara sektor swasta dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membolehkan ujian saringan dilakukan secara cepat, tepat dan mampu dibiayai.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, ujian saringan COVID-19 ini akan menggunakan teknik ujian rt-PCR tetapi akan dilaksanakan secara ‘pooling’ di mana ujian swab terhadap lima individu akan dikumpulkan dan diuji secara kolektif.
“Proses saringan ini dipanggil ‘pooled screening’ di mana ia telah digunakan di luar negara seperti India, Singapura dan Australia.
“Keputusan ujian boleh didapati dalam tempoh 24 jam dan ketepatan keputusannya sekitar 98 peratus dan boleh dipercayai jauh lebih baik berbanding ujian Antigen.
”Daripada ujian yang dilakukan sekiranya terdapat indikasi positif COVID-19 daripada mana-mana sampel tersebut, maka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil alih dan melakukan saringan lanjut ke atas individu-individu tersebut untuk tujuan pengesanan kontak rapat dan seterusnya rawatan,” ujarnya sambil berkata bahawa Pulau Pinang akan terus menerajui usaha-usaha inovatif sebegini dalam memastikan keselamatan kesihatan dan awam di negeri ini.
Hadir sama, Pengerusi Federation Of Malaysian Manufacturers, Datuk Jimmy C.K. Ong dan Prof. Dr. Lee Tong Chow (Pengurus Besar Info Kinetics Sdn. Bhd..
Difahamkan, ujian saringan ini telah pun mendapat kelulusan daripada KKM untuk dilaksanakan di Pulau Pinang dan ia lebih murah iaitu RM60 bagi setiap individu kerana beberapa sampel diuji serentak bersama-sama.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif inovatif berkenaan, Jagdeep memberitahu bahawa ujian tersebut juga boleh dimanfaat dan dilakukan oleh warganegeri yang berminat.
Katanya, inisiatif berkenaan akan meringankan beban KKM dan infrastruktur kesihatan awam negara.
“Bagi yang berminat terhadap program Penang S.A.F.E ini, temujanji untuk saringan swab COVID-19 boleh dibuat melalui emel [email protected] atau melalui talian +6017-220 2818 (Cik Yoyo Eng),” ujarnya lanjut.
Menurut Jagdeep, terdapat 135,450 pekerja warga asing berdaftar di Pulau Pinang, di mana jumlah tersebut melibatkan pelbagai sektor seperti perkilangan, tapak pembinaan dan hospitaliti.
“Dulu kita mempunyai 35 klinik dan hospital yang diiktiraf untuk melakukan ujian saringan ini, sekarang mungkin sudah meningkat kepada 50… tetapi fasiliti ini masih tidak mencukupi dan mampu menampung untuk melakukan ujian saringan kepada semua pekerja (warga asing).
“Menurut pakar, dengan jumlah pekerja (warga asing)dan kapasiti yang ada akan mengambil masa beberapa bulan untuk proses saringan… kita tidak boleh menunggu begitu lama.
“Justeru, pooled screening ini adalah langkah terbaik dan kita berharap lebih banyak industri akan menggunakan metadologi yang sama bagi mempercepatkan proses saringan,” zahir beliau.
Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF