Pulau Pinang akan terus merancang demi masa depan rakyat – Exco

GEORGE TOWN – Tanggal 7 Julai 2008 merupakan titik bersejarah bagi negeri Pulau Pinang apabila George Town dengan rasminya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

Sejak itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kerjasama agensi-agensi dan institusi-institusi berkaitan telah melakukan pelbagai usaha bagi mengekalkan nilai-nilai budaya dan status sebagai ‘Tapak Warisan Dunia UNESCO’.

 

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan dokumen Rancangan Kawasan Khas George Town pada sidang media di sini.

 

Sempena Sambutan 100 Tahun Perancangan Bandar Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak termasuk rakyat Pulau Pinang kerana terus berusaha memelihara dan mengekalkan status tersebut sehingga kini.

 

Malah komitmen Kerajaan Negeri untuk mengekalkan status tersebut diterjemahkan dalam pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) bagi George Town dan Tapak Warisan Dunia Negeri Pulau Pinang.

 

“Bukan mudah untuk merancang tetapi Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus merancang demi masa depan rakyat di negeri ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara siaran langsung menerusi Facebook pada 17 Ogos 2021.

 

Turut sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang (Jabatan Perancang Bandar dan Desa, JPBD), TPr. Mohd. Bashir Sulaiman; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang, S. Bharathi dan Pengarah Urusan Think City yang juga Pengarah George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC), Hamdan Abdul Majeed.

 

Menurut Jagdeep, Pulau Pinang sentiasa dijadikan negeri contoh termasuk pada aspek perancangan masa depan.

 

“Setakat ini, kita (Kerajaan Negeri) telah mewartakan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2030 pada 24 Oktober 2019 dan beberapa RKK lain seperti RKK Taman Botani dan RKK Bukit Bendera.

 

“Kita juga mempunyai Rancangan Tempatan (RT) di bahagian Pulau dan Seberang Perai  yang kini berada pada peringkat kajian semula dan penyelarasan serta dijangka untuk dimuktamadkan pada bulan Disember tahun ini,” jelasnya yang turut berterima kasih atas usaha dan sokongan tidak berbelah-bahagi PLANMalaysia@Pulau Pinang dan GTCDC dalam perancangan pembangunan negeri ini.

 

Sementara itu, Mohd. Bashir ketika diminta mengulas mengenai perancangan masa depan Pulau Pinang, beliau berkata perancangan perlu sentiasa dilakukan bagi memastikan negeri ini mencapai pembangunan mampan.

 

MOHD. Bashir Sulaiman.

 

Perancangan masa kini sebenarnya membawa ke 100 tahun akan datang, oleh itu amat perlu untuk sentiasa merancang.

 

“Selain itu, hasil kerjasama berpasukan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri serta Datuk Bandar juga penting dalam memastikan segala perancangan dilaksanakan mengikut garis panduan yang dimuktamadkan.

 

“Sebenarnya tugas sebagai jururancang atau perancang bandar adalah untuk menasihati dan membantu Kerajaan Negeri sebagai pembuat dasar berkaitan perancangan bandar dan desa yang lebih baik.

 

“(Dan) sambutan hari ini adalah bagi meraikan peranan dan sumbangan profesion jururancang bandar dalam melaksanakan pembangunan mampan,” katanya.

 

Sejurus sidang media, Mohd. Bashir bersama-sama Jagdeep dan wakil-wakil jabatan meninjau ke tapak projek menaik taraf tembok laut dekat Esplanade yang giat dijalankan.

 

 

JAGDEEP Singh Deo ketika meninjau kerja-kerja menaik taraf tembok laut di sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN