Pulau Pinang anjur libat urus, ganti sidang DUN semasa darurat

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri akan menganjurkan Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai ganti kepada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang tidak dapat diadakan semasa tempoh darurat, kini.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sesi tersebut akan diadakan secara bersemuka di sebuah hotel dekat negeri ini pada 29 dan 30 Mac 2021.

“Semua YB (ADUN) telahpun dijemput dalam libat urus ini, setiap Exco diberikan masa selama satu jam untuk sesi soal jawab dan kira-kira 20 minit untuk memberi taklimat mengenai apa yang mereka telah laksanakan dalam tempoh ini …tiada Speaker DUN tetapi dikendalikan oleh urusetia sebagai pengerusi majlis.

“Sesi libat urus ini akan menjadi landasan yang mana suara rakyat dapat diketengahkan,” jelasnya selepas merasmikan acara Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 di Menara Bandaraya MBSP dekat sini pada 26 Mac 2021.

Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya, Rosnani Mahmod serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

Tambah Kon Yeow, sesi yang akan diadakan tersebut langsung tidak akan melibatkan proses pembentangan usul serta menggubal atau meminda undang-undang sebagaimana lazim dalam sesi persidangan DUN sebelum ini.

“Ini hanya sesi libat urus biasa sahaja,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Pada pertengahan Januari lepas, Yang Dipertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sekiranya angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Susulan daripada perintah itu, ia telah membawa kepada penangguhan semua bentuk persidangan dewan, sama ada di DUN mahupun Parlimen.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD