Vaksin COVID-19, Jagdeep ambil inisiatif wujudkan kiosk pendaftaran di KADUN

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo hari ini mengulangi seruan supaya rakyat di negeri ini mengambil peluang dan berdaftar segera sebagai penerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai usaha memutuskan rantaian perebakan pandemik di negeri ini.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selesai menerima suntikan dos kedua vaksin di Klinik Kesihatan Jalan Angsana dekat Bandar Baru Air Itam pagi ini.

 

Menurut Jagdeep, vaksinasi merupakan proses penting dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 selain pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri) bersama-sama wakil-wakil rakyat yang turut mendapatkan suntikan vaksin dos kedua pagi ini.

 

Pendaftaran ini (sebagai penerima suntikan vaksin) adalah sangat penting supaya kita dapat membendung COVID-19.

 

“Malah, saya yakin semua wakil rakyat di negeri ini kini sedang giat melaksanakan program pendaftaran di kawasan masing-masing.

 

“(Dan) bagi memastikan rakyat di Datok Keramat juga turut mendaftarkan diri sebagai penerima suntikan vaksin, kiosk-kiosk pendaftaran akan diadakan di beberapa lokasi pada 27 dan 28 Mac ini.

 

“(Inisiatif ini) adalah bagi membantu melancarkan pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan apabila Fasa 2 program berkaitan bakal dimulakan bulan hadapan (April),” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat itu.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep turut berkata bahawa pihaknya akan mengadakan beberapa siri pendaftaran melalui kiosk sekiranya diperlukan kelak.

 

“Kiosk-kiosk ini adalah bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan untuk mendaftarkan diri selain membantu mereka yang telah berdaftar membuat semakan,” katanya.

 

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan butiran kiosk yang akan dibuka pada 27 dan 28 Mac 2021 ini.

 

Berikut adalah butiran kiosk ;

27 Mac 2021 (Sabtu) – 9:00 pagi hingga 11:00 pagi
i. Astaka Lorong Kulit
ii. Pasar Awam Taman Free School
iii. Pasar Awam Jalan Kuantan
iv. Taman Jajar

28 Mac 2021 (Ahad) – 9:00 pagi hingga 11:00 pagi
i. Dewan Jalan Makloom
ii. Masjid Acheh Kebun Lama
iii. Masjid Rawana

 

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut memaklumkan bahawa bermula 18 Mac sehingga 25 Mac 2021, sejumlah 1,551 premis pelbagai guna telah diarahkan tutup sementara akibat gagal mematuhi SOP.

 

“Di bahagian pulau, sebanyak 32 premis telah diarahkan tutup manakala Seberang Perai (1,519).

 

“Jenis premis pula terdiri daripada premis perniagaan, pusat hiburan, penjaja, pasar awam, medan selera dan kilang.

 

“(Dan) daripada 1.68 juta pemeriksaan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) mendapati kadar pematuhan SOP adalah 99 peratus.

 

“Malah, kedua-dua pihak berkuasa tempatan juga telah diarahkan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas sekiranya wujud ketidakpatuhan SOP demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam terjamin,” jelasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING