Pulau Pinang berhasrat wujudkan pusat sehenti pasarkan produk usahawan tani

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini dalam proses perbincangan bagi mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi memasarkan hasil serta produk usahawan tani di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) ke Pasar Raya anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dekat perkarangan Pasaraya Mydin di sini, 7 Disember lalu.

Menurut Afif, dengan adanya pusat pemasaran yang strategik, ia membolehkan hasil serta produk usahawan tani dapat dibekalkan bukan hanya kepada pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran luar memandangkan Pulau Pinang mempunyai kelebihan sebagai negeri pelancongan.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada FAMA Negeri dan Persekutuan atas usaha promosi jualan terus dari ladang yang menghimpunkan usahawan-usahawan tani dari tujuh buah negeri yang datang ke sini untuk mempromosi dan menjual produk mereka.

“Kita (Kerajaan Negeri) sememangnya mengalu-alukan sebarang inisiatif untuk meningkatkan lagi produktiviti dan keberhasilan dari ladang-ladang yang sedia ada di negeri ini,” ujarnya.

Pada program itu juga, Afif turut menyampaikan insentif KUKUH kepada tiga pemasar iaitu Mohd. Faizal Abdul Latif, Rosidah Mansor dan Mejar (B) Muhamad Zahiri Zainuddin yang melayakkan mereka menerima wang tunai berjumlah RM2,500.

Program JTDL yang berlangsung selama tiga hari mulai 7 hingga 9 Disember 2018 itu, mempromosi pelbagai hasil pertanian tempatan seperti nanas, jagung, durian, rambutan, manggis, ubi-ubian, sayur-sayuran dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, Program JTDL merupakan satu usaha untuk membawa hasil segar dari ladang kepada pengguna yang dilihat mampu memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak iaitu masyarakat dan pengusaha.

Malah katanya, program tersebut turut memberi kelebihan dari segi pertambahan pendapatan pengusaha antara 30 hingga 50 peratus dan pada masa sama pengguna memperoleh harga lebih murah berbanding di pasar awam.

“Kita (FAMA) adakan program ini sebanyak 342 kali di seluruh negara pada tahun ini berbanding 244 kali (2017) yang mana jumlah penyertaan juga turut meningkat daripada 483 peserta (2017) kepada 557 peserta (2018).

“Dari segi nilai jualan juga turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak RM1.75 juta (rekod nilai jualan) berjaya dicatatkan sehingga Oktober 2018 berbanding RM1.72 juta (sehingga Disember) tahun lepas,” ujarnya sambil menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat menyediakan tapak-tapak baru bagi menggalakkan lagi program berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD