Pertandingan karom bawa semangat kesaksamaan, letakkan kita sebagai satu rumpun – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 120 pasukan dari dalam dan luar negeri mengambil bahagian dalam Pertandingan Karom Beregu Terbuka Pulau Pinang Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota anjuran Persatuan Muslim Kadayanallur tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja dapat memberi peluang kepada para peserta untuk menzahirkan bakat masing-masing, malah mampu membawa kepada penyatuan nilai silaturahim, semangat kesaksamaan serta meletakkan masyarakat sebagai satu rumpun.

“Walaupun permainan ini dianggap mudah, tetapi sebenarnya ia memerlukan kesabaran yang tinggi di samping kepandaian, strategi, ketepatan, kreativiti serta kemahiran.

“Sama ada kita sedar atau tidak permainan ini juga dapat mewujudkan pelbagai bentuk geometri yang perlu difikirkan oleh setiap pemain untuk mencapai matlamat akhir mereka.

“Oleh itu, tidak hairanlah mengapa permainan karom mudah memenangi perhatian masyarakat di negara ini,” katanya ketika merasmikan pertadingan berkaitan dekat Dewan Sri Pinang di sini pada 9 Disember 2018.

Turut bersama, ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Wong Yuee Harng; Presiden Persatuan Muslim Kadayanallur, Saibullah Abd. Kader; Timbalan Persiden Persatuan Muslim Kadayanallur merangkap Pengerusi Pertandingan, Muhammad Noor; Jawatankuasa Pengelola Pertandingan serta barisan para peserta.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa permainan karom suatu ketika dahulu hanya dimainkan untuk memenuhi masa terluang, tetapi kini menjadi antara sukan yang dipertandingkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Permainan ini menerima sambutan menggalakkan kerana ia tiada had umur selain mempunyai daya tarikan dan peminatnya yang tersendiri.

“Malah, saya juga difahamkan bahawa ada dalam kalangan ahli persatuan karom yang mewakili Negeri Pulau Pinang untuk bertanding di peringkat Kebangsaan.

“Justeru, saya berharap agar pertandingan kali ini berjalan dengan jayanya dan bertandinglah dengan semangat kesukanan yang tinggi,” ujar beliau yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Difahamkan, juara pertandingan pada tahun ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 berserta medal dan piala pusingan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD